Renungan Kata Pengisian Jiwa

November 27th, 2008

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat di mata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu. Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup…

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…

Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar memenuhi keperluanmu. Kerana apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi…

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya. Akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu akan berterusan hingga ke akhirnya…

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah dan cuba mencari makanan yang lain. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya lagi. Kamu akan menyesal…

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan yang kamu pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah dan cuba membandingkannya dengan yang lain? Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan menyesal……

Mengurus temu janji

November 27th, 2008

Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sesebuah hubungan melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.

SEGELINTIR ibu bapa menganggap, apabila anak remaja sudah mula ada temu janji, bermakna berakhirnya peranan mereka sebagai ibu bapa. Ia juga dilihat sebagai tiba masa yang tegang dengan pelbagai masalah.

Justeru, persediaan yang rapi menjadi kunci kepada pengurusan kehidupan anak remaja anda.

Hampir kebanyakan ibu bapa mungkin berasa bimbang tentang peringkat kehidupan anak remaja mereka. Dalam kebanyakan kes, situasi anak yang mula ‘bertemu janji’ dilihat sebagai langkah pertama mereka untuk belajar berdikari atau tidak memerlukan kongkongan ibu bapa lagi.

Tetapi belum tentu ia begitu. Temu janji hanyalah satu norma dalam kehidupan remaja. Sudah tentunya mereka masih memerlukan anda (ibu bapa) dalam tempoh ini dan masa akan datang.

Tempoh ini juga boleh menjadi masa yang sukar dalam kehidupan anak remaja anda. Namun, banyak yang boleh dilakukan untuk melancarkan proses hubungan di antara anda selaku ibu bapa dan anak.

Seperti dalam hal-hal lain, kejayaan sesebuah temujanji bermula dengan didikan yang betul. Adalah penting untuk anda berbincang dengan anak remaja sebelum mereka mula ‘bertemu janji. Perbincangan seharusnya menumpukan kepada ciri-ciri sebuah hubungan yang berjaya.

Mungkin mudah bagi anda membuat andaian bahawa anak remaja tahu apa yang betul dan tidak tentang temujanji tetapi ia tidak semestinya begitu.

Jika anda berfikir sejenak, kebanyakan maklumat mereka tentang subjek tersebut berkemungkinan diperoleh daripada televisyen. Namun, apa yang mereka nampak itu tidak semestinya mencerminkan kehidupan sebenar.Apa yang ditonton mungkin dianggap sebagai hiburan semata-mata.

Anak remaja anda sepatutnya memahami apa itu hubungan yang saling menyayangi dan memberi sokongan. Tiada cara yang lebih baik untuk meneroka makna sebuah hubungan, melainkan berbincang dengan ibu bapa berdasarkan pengalaman peribadi orang terdekat.

Ini bermakna, apa yang anda katakan akan memberi impak kepada anak remaja anda. Begitu juga dengan apa yang mereka lihat dan contohi daripada anda. Disebabkan itu, tingkah laku hubungan anda dan pasangan perlu dijaga agar anak tidak mendapat petunjuk yang negatif.

Apabila anak sudah mula ‘bertemu janji’, anda perlu sedar perbincangan yang bakal mengambil tempat adalah sesuatu yang akan diteruskan.

Pasangan yang ditemui itu tidak semestinya orang yang anda atau anak jangkakan. Jadi, kesediaan anda menjadi tempat anak meluahkan perasaan dan berbincang masih mustahak kala saat dilanda kemelut jiwa.

Ingatlah bahawa komunikasi yang baik dan berterusan boleh mendidik anak remaja tentang cara yang betul menguruskan sebuah hubungan. Benarkan mereka mengetahui bahawa layanlah orang lain sebaik mungkin sebagaimana diri kita ingin dilayan.

Berjumpa dengan pasangan anak remaja anda buat kali pertama ada kalanya boleh mewujudkan tekanan. Tetapi, ingatlah betapa pentingnya anda sebagai ibu bapa untuk membuatkan perjumpaan itu satu situasi yang selesa dan saling menghormati.

Elakkan daripada melakukan kesilapan klasik seperti berleter dan mengutuk hubungan anak anda dalam perjumpaan pertama.

Jika terlintas di fikiran untuk menyediakan syarat-syarat penting, anda boleh lakukan ini hanya apabila anda dan anak duduk bersama.

Dalam keadaan terburuk sekali pun, misalnya apabila anda tidak menyenangi pilihan anak remaja anda, jangan tunjukannya secara terang-terangan. Sebaliknya, berilah sokongan kerana mungkin ada sebab kenapa anak remaja anda memilihnya.

Setelah berkongsi dan sedikit sebanyak mendidik mereka tentang perhubungan yang sihat, berikan keyakinan terhadap keputusan anak. Jangan campur tangan dalam hal hubungan, melainkan terasa bahang bahaya yang bakal melanda.

Sesungguhnya, agak sukar untuk menyaksikan perkembangan anak remaja dan kecenderungan mereka mengenali orang baru. Tetapi, asalkan anda sudah melakukan bahagian yang sepatutnya, percayalah bahawa anak remaja anda tahu dan boleh mempertimbangkan apa yang betul dan salah. – AP

Tips mengekalkan sebuah persahabatan

November 26th, 2008

Saling memberi kebebasan
Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain. Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu membuat itu dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur pada persahabatannya.

Saling menahan rasa cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu persahabatan yang dibina tak adalah ‘thrill’nya. Tetapi cemburu yang membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan menuduh. Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang. Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang kali. Tentu menyakitkan…

Saling memahami
Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam. Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok masih ada masa untuk kamu bertemu dia.

Saling mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.

Saling memberi kemaafan
Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

Cinta palsu suami orang

November 26th, 2008

Apa yang saya cuba sampaikan di sini bertujuan memberi peringatan kepada remaja sebaya saya dan sesiapa yang berkaitan. Saya berumur 21 tahun dan pelajar diploma di tahun akhir.

Saya berkawan dengan teman lelaki hampir dua tahun. Umurnya sebaya saya. Dia melayan saya dengan baik sekali dan dia juga baik kepada keluarga saya. Ibu saya juga suka kepadanya.

Namun apakan daya, saya jatuh cinta pula dengan orang lain yang umurnya enam tahun lebih tua. Biar saya namakan dia H. Lebih menyedihkan, orang yang saya jatuh cinta itu sudah berkahwin.

Disebabkan janji manis dan layanan baik diberikan kepada saya, saya buta dan tinggalkan teman lelaki saya, biarpun ketika itu saya baru mengenali H tidak sampai seminggu.

Awal perkenalan kami, semuanya berjalan lancar. H berjanji untuk tidak buat saya rasa dia sudah berkahwin dan dia berjaya lakukannya. Bagaimanapun selepas beberapa bulan, isterinya dapat menghidu hubungan kami.

Saya cuba untuk undur diri, tapi H menghalang saya. H masih nak teruskan hubungan kami. H berjanji akan berkahwin dengan saya. H kuatkan semangat saya dan berkata sayalah yang ada di hatinya, bukan isterinya.

Dia tidak pandang isteri di depan mata. H cuba ugut saya dengan berkata, kalau saya tinggalkan dia, isterinya juga akan dia tinggalkan. Saya jadi takut kerana tidak mahu perceraian berlaku disebabkan saya.

Saya langsung tidak tahu saya diperbodohkan. Selama 10 bulan perkenalan saya dengan H, macam-macam yang saya lalui. Walaupun masih belajar, saya tetap buat kerja sambilan di tempat kerja H semata-mata untuk bersamanya.

Duit saya banyak habis untuk H. Saya penuhi segala permintaan dia, sedangkan teman lelaki saya dulu tidak pernah sedikitpun susahkan hidup saya. Saya bukan saja habis duit, tapi maruah diri saya juga tergadai. Semuanya kerana cinta.

Selama hampir dua tahun bersama teman lelaki saya dulu, kami tidak pernah buat kerja terkutuk itu. Kini H dengan senang hati meninggalkan saya. Baru saya tahu lelaki memang ayat manis. Banyak yang saya pelajari sepanjang bersama H.

Saya juga terlepas peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kerana H tidak benarkan saya sambung belajar. Dia nak saya bersama dia, tapi semuanya tipu belaka.

Di luar sana, saya nak nasihatkan remaja wanita supaya jangan mudah percaya pada lelaki. Hargailah apa yang ada di depan mata. Jangan sesekali benarkan diri anda dinodai.

Yang paling, penting jangan percayakan suami orang! Cinta mereka hanya kerana seks semata-mata. Jangan jadi seperti saya yang kini menyesal seumur hidup.

YANG MENYESAL

———————-

Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman di ruangan ini untuk menjadi iktibar kepada orang lain.

Rasanya, tidak perlu Dang Setia mengulas panjang lebar mengenai nasib yang menimpa saudari.

Sebagaimana saudari, Dang Setia juga berharap pengalaman pahit saudari mampu memberi pengajaran kepada pembaca. Sekurang-kurangnya ia memberi perspektif baru kepada penggemar ruangan ini.

Maksudnya, jika Dang Setia menyatakan jangan bercinta dengan suami orang kerana mungkin mereka hanya inginkan tubuh anda, mungkin ramai beranggapan Dang Setia tidak betul dan lebih percayakan teman lelaki mereka.

Namun, apa yang saudari alami secara jelas membuktikan betapa besarnya kesilapan yang saudari lakukan. Selain kehilangan teman lelaki yang baik, maruah diri saudari juga tergadai serta gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kesimpulannya, kepada remaja wanita, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi di luar sana yang kini asyik mahsyuk bercinta dengan suami orang, beringatlah sebelum kena. Janganlah sudah terhantuk, baru nak tengadah.

~ Keratan Dang Setia, Metro Ahad

Cinta Itu Menakjubkan

November 25th, 2008


Cinta adalah sesuatu yang menakjubkan.

Kamu tidak perlu mengambilnya dari seseorang untuk memberikannya kepada orang lain.

Kamu selalu memilikinya, lebih dari cukup untuk diberikan kepada orang lain.

Remaja hati-hati dengan jerat cinta

November 23rd, 2008

Oleh ROSLAH OTHMAN

“CINTA itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnya yang berlain-lain menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”

- Ilmuan tersohor Profesor Dr. Hamka

Sememangnya perasaan kasih dan sayang atau cinta adalah kurniaan Allah yang amat unik dalam diri setiap insan. Cinta luhur dan suci, namun mampu bertukar menjadi jerat memakan diri jika tidak diurus secara rasional.

Justeru, timbul isu-isu seperti lari dari rumah gara-gara mengikut teman lelaki. Lebih malang apabila ia membabitkan remaja bawah umur dan masih di bangku sekolah, sebagaimana yang banyak berlaku akhir-akhir ini.

Akibat ‘demam cinta’ mereka sanggup mengikut lelaki yang tidak diketahui asal-usulnya, sekali gus melukakan hati ibu bapa dan keluarga, serta menggadaikan masa depan dengan meninggal alam persekolahan.

Persoalan sekarang apakah faktor yang mendorong remaja ini bertindak senekad itu. Sejauh mana kefahaman mereka tentang istilah cinta yang sebenar atau sekadar suka-suka menyebutnya?

Sebelum persoalan ini dijawab, pakar motivasi, Dr. Robiah K. Hamzah, lebih suka menjelaskan istilah cinta itu sendiri.

Katanya, apa sahaja yang membuatkan mereka gembira, tenteram, kenyang dan menang, itulah cinta bagi remaja sekarang.

“Soal halal haram tidak ada lagi, asal sahaja keperluan dan kehendak mereka berjaya dicapai, itu sudah dianggap kemenangan besar,’’ ujarnya.

Malah katanya, dorongan-dorongan kepada minda seksualiti bahawa cantik, hebat dan popular itu lebih penting, secara tidak langsung membangkitkan keghairahan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

Menerangkan lebih lanjut katanya, kurang kemahiran di kalangan ibu bapa dalam menangani anak-anak di peringkat usia ini, juga mendorong anak-anak remaja terjerumus kepada kancah tidak sihat.

Ini katanya, berkait rapat dengan cara dan bagaimana ibu bapa mahu berhadapan serta membangunkan minda mereka sesuai dengan kehendak remaja hari ini.

Malah lebih malang, apabila asas agama yang selama ini menjadi tunjang kepada kehidupan, tidak lagi berjaya disuburkan oleh ibu bapa di kalangan anak-anak mereka.

“Remaja hari ini jauh berbeza dengan remaja dahulu. Hakikat yang perlu diterima ibu bapa hari ini ialah cara mereka membesar jauh berbeza dengan anak-anak sekarang. Begitu juga dari segi keperluan, kehendak serta cabaran yang dihadapi,’’ ujarnya.

Malah katanya, ibu bapa perlu sedar tahap kematangan anak-anak mereka hari ini lebih cepat atas dorongan dan pengaruh persekitaran.

Berkasih sayang

Kematangan yang dimaksudkan bukan sahaja dari segi keperluan fizikal tetapi termasuk dari segi biologi.

“Pada usia lapan atau sembilan tahun, ada yang sudah mencapai akil baligh. Keinginan untuk berkasih sayang dan tertarik kepada seseorang berlainan jantina sedikit sebanyak sudah berputik dalam diri anak-anak ini.

“Sebagai individu yang melalui proses peralihan dari usia kanak-kanak ke remaja, perasaan menyukai pada seseorang mudah timbul,’’ ujarnya.

Walaupun tidak salah kata Robiah, remaja ini harus dibimbing dengan betul tentang bagaimana untuk mengurus perasaan tersebut.

Peranan ibu bapa untuk memberitahu bahawa pada usia remaja keutamaan mereka adalah pelajaran sebagai permulaan bagi membina masa depan.

Cinta usia remaja atau lebih dikenali dengan jolokan ‘cinta monyet’ hanya menganggu tumpuan kepada pelajaran gara-gara hanyut dilanda perasaan.

Beliau berkata, emosi memang bersifat subjektif tetapi dalam usia muda, apa yang lebih menjadi tanggungjawab mereka ialah menghabiskan pelajaran bukan masanya untuk diamuk perasaan cinta.

Lebih teruk lagi jika jatuh hati pada lelaki yang baru sahaja dikenali hingga ada kalanya boleh memberi kesan psikologi kepada pelajar.

“Remaja harus ingat, pada waktu ini kesempatan terbaik untuk merencanakan masa depan, mencipta kejayaan dalam hidup, bukan hanya berangan-angan kosong,” katanya.

Robiah mengingatkan bahawa, kematangan yang tidak diurus dengan baik membuatkan ada antara remaja tidak berasa takut untuk meredah apa sahaja yang ada di luar dari rumah mereka.

Ini ditolak lagi oleh faktor persekitaran termasuk pendedahan yang dibuat media massa dan elektronik, sehingga remaja berasa mereka juga mempunyai hak dan kebebasan sendiri.

“Bagi anak remaja ini mereka berasa mereka sudah boleh membuat keputusan sendiri, tanpa perlu dikawal ibu bapa atau pihak sekolah,’’ ujarnya.

Dalam keadaan ini, tidak ramai ibu bapa yang cuba untuk memahami perubahan-perubahan serta kehendak anak-anak ini.

“Cara didikan ibu bapa sekarang tidak lagi sesuai dengan jiwa anak-anak yang semakin berani dan terbuka.

“Apabila ibu bapa masih mengekalkan cara mendidik anak sama seperti 20 atau 30 tahun dulu, secara tidak langsung anak-anak akan berasa terdapatnya jurang ketidakserasian antara mereka dan ibu bapa,’’ jelasnya yang juga Presiden Wanita Islam Antarabangsa, Malaysia.

Keadaan diburukkan lagi apabila sikap dan kefahaman anak remaja hari ini yang tidak lagi kuat untuk menjurus kepada pendidikan keagamaan.

Ketaatan mereka terhadap ibu bapa semakin rendah, begitu juga ketaatan kepada Tuhan dipandang ringan.

Akibat daripada kerapuhan iman inilah, remaja berjaya membina budaya ‘mereka boleh hidup sendiri’ berpandukan apa yang mereka lihat dan buat.

“Kebanyakannya melupakan akhirat dan terlalu mengejar keduniaan. Katanya, konsep membangunkan budaya ketuhanan sudah tidak ada sebaliknya mengutamakan keperluan duniawi.

“Apabila mereka lebih mengutamakan keduniaan, mencari kekayaan dengan cara jalan pintas sehingga melupakan halal haram, maka generasi yang tidak berkualiti akan dilahirkan,’’ ujarnya mengakhiri perbualan.

Usah Membujang

November 23rd, 2008

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

FITRAH kehidupan, daripada alam tumbuhan dan haiwan, malah manusia sejak zaman Nabi Adam, diciptakan berpasangan, ada lelaki dan perempuan supaya dapat mengembangkan zuriat bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Manusia sebagai pentadbir atau khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi ini perlu mengembangkan keturunan, justeru mereka dikurniakan kecenderungan berkahwin dan beranak-pinak.

Hidup berpasangan melalui perkahwinan bukan menjadi amalan bagi sesetengah masyarakat tetapi semuanya menerima pakai sistem itu tanpa mengira pangkat, suku kaum dan agama. Cuma yang membezakan adalah caranya.

Tetapi dalam dunia siber hari ini, ada lebih selesa hidup bersendirian sama ada lelaki atau perempuan tanpa mahu memikirkan soal perkahwinan.

Bagi golongan ini, gaya hidup bujang lebih selesa dan menjamin masa depan. Mereka bebas bergerak, tiada halangan ke mana-mana dan terlepas daripada tanggungjawab sebagai suami atau isteri.

Bagi sesetengah perempuan, perkahwinan dikatakan mendatangkan kesusahan apatah lagi memikirkan jika mendapat suami yang panas baran, kaki judi, pemabuk atau penagih dadah.

Cerita negatif yang didengar dan disaksikan melalui filem dan drama menyebabkan mereka lebih suka gaya hidup bujang, malah ada yang tidak berminat mendapatkan pasangan hidup. Tetapi apa kata Islam?

“Pada dasarnya Islam mahu umatnya berkahwin. Walaupun perintah kahwin yang diturunkan Allah asalnya harus, tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib dan sunat.

“Malah, ia juga boleh menjadi makruh dan haram ,” kata penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar.

Menurutnya, agama menghukumkan wajib berkahwin sama ada lelaki atau perempuan apabila seseorang itu tidak mampu mengawal diri daripada fitnah berpunca dari mata, hati dan nafsu syahwat.

Hukum sunat kepada individu yang masih dapat mengawal diri, manakala makruh adalah ke atas mereka yang belum bersedia menghadapi gerbang perkahwinan.

Keharusan berkahwin boleh menjadi haram jika individu terbabit menghidap penyakit tertentu seperti HIV dan siflis, kerana memberi risiko kepada zuriat dan isteri.

Mohd Rani berkata, mereka yang tergolong wajib atau sunat berkahwin perlu menyegerakan perkahwinan kerana jika tidak berbuat demikian boleh menyebabkan timbulnya kemungkaran dan berdosa.

“Jika jatuh hukum wajib atau sunat kena berkahwinlah. Tidak berkahwin akan menyebabkan dosa kerana walaupun tidak berzina tetapi mata yang tidak boleh dikawal sudah mendapat dosa,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang itu boleh hidup berdikari, tamat persekolahan dan tahu memikul tanggungjawab, mereka patut berumah tangga.

Tetapi, bagi mereka yang masih belajar di kolej atau institusi pengajian tinggi, tumpukan perhatian kepada ilmu.

“Masalah sekarang, sesetengah orang berfikir perkahwinan itu menyusahkan dan satu masalah. Bagi golongan ini, mereka tidak yakin dengan rezeki daripada Allah.

“Zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu pun ada yang tidak mahu berkahwin kerana mahu memberikan tumpuan kepada ibadat tetapi, Nabi melarang dan mengatakan kepada orang terbabit,“aku beribadat dan aku juga berkahwin”.

“Nabi menggalakkan umatnya berkahwin kerana dapat mengembangkan zuriat, malah baginda akan berbangga dengan umat yang ramai.

“Berkahwin bukan alasan menjadi susah sebaliknya rezeki lebih murah.

“Banyak contoh orang lama yang berjaya hidup mereka walaupun peringkat awalnya susah. Jika tidak berkahwin lagi menyusahkan, bermacam-macam akibat di depan,” katanya.

Menurutnya, Islam agama terbaik, tiada halangan dalam soal perkahwinan seperti sesetengah ideologi lain yang melarang penganutnya berkahwin.

Justeru, beliau menasihatkan orang Islam khususnya muda-mudi memanfaatkan kelapangan dan keistimewaan yang diberikan di dalam Islam ini.

Banyak kebaikan diperoleh melalui perkahwinan. Selain mengembangkan keturunan, memelihara kesucian diri, memelihara pandangan dan kemaluan, paling penting memberikan ketenangan, kelapangan dan hidup dihiasi kemesraan.

Ini sebagaimana dijelaskan dalam ayat 189, surah al-A’raf, bermaksud: “Dialah yang menciptakan kamu semua dari diri yang satu dan Dia mengadakan daripadanya pasangannya (isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra. Ketika dicampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Maka ketika ia rasa berat berdoalah kedua-duanya kepada Tuhan: Sesungguhnya jika Engkau kurniakan kami anak yang baik, tentulah kami menjadi dari orang yang bersyukur.”

Beza Lelaki & Wanita

November 23rd, 2008

Lelaki

Lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.

Lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. BERATKAN?

Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN??

Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan pendapatan isteri tanpa izin.

Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut.

Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung (ikut kajian laa.)

Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan. Begitulah kira-kiranya.

Wanita

Auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki. Perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

Saksinya kurang berbanding lelaki.

Menerima pusaka kurang dari lelaki.

Perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

Wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.

Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.

Wanita kurang dalam beribadat kerana masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Pernahkah kita lihat sebaliknya??

Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar bersepah-sepah bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

Wanita perlu taat kepada suami tetapi lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, manakala lelaki menerima pusaka perlu menggunakan hartanya untuk menyara isteri dan anak-anak.

Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di mukabumi ini, dan matinya jika kerana melahirkan adalah syahid kecil. Manakala dosanya diampun ALLAH (dosa kecil).

Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita ini: isterinya, ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya. Manakala seorang wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 org lelaki ini: suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Seorang wanita boleh memasuki pintu Syurga melalui mana-mana pintu Syurga yg disukainya cukup dengan 4 syarat sahaja: sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat suaminya dan menjaga kehormatannya.

Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

MasyaALLAH…sayangnya ALLAH pada wanita ….

Seorang wanita adalah pelengkap dan sememangnya istimewa di sisi seorang lelaki, tetapi ingatlah wahai lelaki…kamu sebenarnya adalah istimewa disisi Allah, maka dengan sebab itu DIA mengangkat kamu menjadi pemimpin…maka dengan keistimewaan itu, JAGALAH dan HARGAILAH wanita sebaik-baiknya…supaya kelak masing2 lelaki dan wanita dapat pulang mengadap Allah dalam keadaan istimewa disisiNYA.

Konflik bakat, minat dan pilihan ibu bapa

November 23rd, 2008

SEORANG pelajar aliran sains bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Namun ibu bapanya terlalu menginginkannya kelak menjadi seorang jurutera. Pelajar ini, Ahmad, menjadi serba salah antara ingin menjadi seorang jurutera dan menjadi seorang peguam.

Menjadi seorang peguam adalah minatnya sejak kecil dan menjadi seorang jurutera adalah harapan ayahnya sejak lama.

Akhirnya dia terpaksa memilih jurusan kejuruteraan yang kurang diminatinya. Keputusan SPMnya yang baik telah membantunya memasuki bidang berkenaan.

Tahun pertama dia berasa payah untuk mengikuti program kejuruteraan tersebut. Purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang diperolehnya tidak begitu baik. Di hujung semester kedua gred yang diperoleh semakin merosot. Ia masih boleh meneruskan pengajiannya kerana grednya masih berada di paras 2.0.

Tahun kedua semester pertama, dia terasa serba salah antara kekal dengan bidang yang ada atau bertukar ke bidang lain. Mengenangkan harapan orang tuanya, dia kekal dalam bidang kejuruteraan. Kekal dalam bidang kejuruteraan bermakna berdepan dengan pencapaian yang lebih merosot. Ternyata ia benar.

Semester pertama tahun kedua pencapaiannya berada di bawah PNGK 2.0 dan dia diminta meninggalkan universiti. Akhirnya dia gagal untuk meneruskan pengajian dan memohon ke universiti swasta untuk kursus yang diminatinya.

Analisis

KISAH ini menjadi pengajaran untuk semua. Memilih bidang kursus seharusnya berdasarkan kepada bakat dan minat di samping kelulusan yang ada.

Para pelajar kadang kala terdesak untuk memilih atas kemahuan ibu bapa. Ibu bapa mempunyai impian sendiri terhadap anak-anaknya. Tidak salah ibu bapa memberi pandangan dan campur tangan dalam urusan memilih bidang. Yang bakal belajar ialah pelajar itu sendiri.

Sekiranya bidang pengajian tidak selari dengan minat serta bakat anaknya ia bakal menimbulkan masalah. Banyak kes seperti ini membawa kepada kegagalan para pelajar.

Merujuk kepada kes Ahmad tadi, ia akan membawa kepada tekanan perasaan kerana dua perkara. Pertamanya, Ahmad berasa tertekan dengan keputusan peperiksaannya yang rendah sedangkan keluarganya mengharapkannya menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Keduanya, Ahmad akan bertambah keliru dan tidak bersemangat untuk belajar kerana kurang berminat dengan jurusan kejuruteraan dan hal ini menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri dalam dirinya.

Biasanya para remaja yang memilih bidang yang diminati dan mempunyai kelulusan yang cukup di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia akan lebih yakin dengan apa yang dibuatnya. Jika ibu bapa campur tangan tanpa memahami minat dan bakatnya, dikhuatiri anaknya akan memberontak dari dalaman. Kadangkala, anak-anak serba-salah antara memilih cita-cita sendiri dan mengikut kemahuan ibu bapa.

Tips peranan remaja

1. Remaja haruslah mendapatkan nasihat dan panduan daripada mereka yang di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Dalam erti kata lain, membuat sedikit homework untuk memilih bidang yang sesuai untuknya.

Misalnya, dalam kes Ahmad, beliau boleh menghubungi atau mengunjungi individu-individu atau pihak seperti:

* Dekan atau pensyarah di universiti/ kolej di dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang. Ahmad boleh bertanyakan bidang kursus, masa depan kedua-dua bidang tersebut dan membandingkan dengan kelulusan serta minat dan bakatnya.

* Pelajar-pelajar universiti di dalam kedua-dua bidang berkenaan. Jika tiada saudara terdekat, rakan-rakan yang mempunyai saudara yang belajar di IPT juga boleh dijadikan rujukan.

* Maklumat daripada bahan bacaan seperti majalah, internet dan buku motivasi boleh membantu seseorang dalam membuat keputusan.

Apabila langkah mengumpulkan maklumat ini telah diambil, pelajar akan lebih yakin dengan pilihannya.

Ini juga antara lain boleh menyelesaikan kekeliruan yang timbul di dalam dirinya. Pepatah ada mengatakan, ‘semakin anda keliru dengan sesuatu, semakin itulah anda patut berusaha mencari jawapannya.’

Sekiranya remaja tersebut beragama, sebaik-baiknya remaja tersebut memohon kepada Tuhan supaya diberi petunjuk yang benar.

2. Remaja tidak perlu berasa serba salah dan harus bersedia berterus terang dengan cara yang baik dan bijaksana. Ini supaya ibu bapa tidak memaksanya mengambil bidang yang tidak diminatinya.

Di dalam kes Ahmad, beliau boleh menunjukkan maklumat yang telah dikumpul tadi kepada orang tuanya dan berbincang secara matang dan rasional tentang hala tuju hidupnya.

3. Jika hasrat meneruskan bidang yang dipilih mendapat restu ibu bapa, pelajar tersebut haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa bidang yang dipilihnya itu bukan sahaja membawa kebaikan untuk diri dan keluarganya, malah membantu menyumbang kepada masyarakat.

Peranan ibu bapa

1. Ibu bapa harus menghargai dan menghormati minat dan bakat anak-anak. Anak-anak harus dirundingi dan ibu bapa harus bertindak sebagai penasihat. Mereka perlu membekalkan maklumat yang cukup mengenai bidang yang ingin dipilih.

2. Apabila nasihat yang betul diberikan, pilihan membuat keputusan sepatutnya diserah kepada anak-anak.

3 Pilihan bidang berasaskan minat dan bakat disertai dengan kelulusan yang baik dan sesuai boleh mendorong anak-anak lebih berjaya dalam bidang pengajiannya. Menjayakan cita-cita sendiri berasaskan bakat, minat dan kelulusan yang sesuai boleh menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Kesimpulan

Para remaja yang berada di persimpangan memilih hala tuju hidup harus mengambil sikap proaktif dengan mencari sebanyak maklumat tentang pilihan yang ada. Perbincangan secara berhemah harus diadakan dengan ibu bapa agar mereka memahami minat dan bakat anak mereka.

Sesuatu pekerjaan yang datang besama minat yang mendalam pasti membuahkan hasil yang lebih baik daripada melakukan pekerjaan yang tidak disertai dengan minat.

Oleh itu, para remaja harus bijak untuk membuat keputusan mengenai hala tuju hidupnya dan pada masa yang sama, memperoleh restu daripada ibu bapa yang tercinta.

* MOHD. FARID MD. ALIAS ialah graduan Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Hidup Perlu Rasional

November 23rd, 2008

Dalam kehidupan kita, memang ada bermacam jenis manusia dengan pelbagai kerenah dan ragam. Bak kata orang, “Rambut sama hitam, hati lain-lain”. Jadi memang sukar nak “dikenali” hanya dgn melihat sifat luaran sahaja. Begitu juga tanggapan seseorg dlm menjalani kehidupan. Ada yang menerimanya dengan rasional dan mampu berfikiran terbuka. Sebaliknya tak kurang juga yg kurang rasional.

Dalam merentasi kehidupan ini, memang banyak rintangan, dugaan dan cabaran yg terpaksa ditempuhi. Bukan mudah utk merencanakan kehidupan apatah lagi tanpa azam dan iltizam yg sepatutnya disematkan dalam diri masing-masing, membuatkan kita sukar utk menuju kehadapan. Di dalam kehidupan ini, ada juga di antara kita yg lebih suka bergantung hidup dgn org lain dan tidak berkeyakinan utk berdikari. Terutamanya jika berhadapan dengan masalah, ini akan membuatkan kita berasa gentar utk menghadapinya berseorangan.

Ada juga yg tidak sanggup menerima sebarang masalah kerana ini akan membawakan tekanan perasaan dalan hidupnya seterusnya menimbulkan rasa gelisah, murung dan kebimbangan. Ia menunjukkan betapa rapuhnya daya ketahanan diri terutamanya dari segi mental kerana “tidak kebal” apabila menghadapi sesuatu tekanan. Justeru, ada yg mengambil jln singkat utk “melenyapkan” masalah itu dgn bertindak di luar batasan seperti membunuh diri, mengambil minuman keras, pil khayal dan sebagainya. Jalan-jalan penyelesaian sebegitu sebenarnya bukan satu tindakan yg bagus dan bermakna kerana ia akan mendatangkan implikasi yg lebih besar ke atas diri sendiri.

TEMPUHI KEHIDUPAN DENGAN SEMPURNA

Sebagai manusia yg berakal dan beradab, kita seharuslah menghargai kehidupan yg nyata ini. Memang bukan semua manusia sentiasa bernasib baik dalam kehidupan kerana putaran hidup ini bagaikan roda. Ada masanya kita akan berada di “bawah” dan inilah cabaran yg harus ditempuhi. Sebenarnya kehidupan adalah kesinambungan utk menuju ke alam yg lebih nyata dan abadi. Percayalah masalah adalah rempah ratus dlm kehidupan.

Setiap manusia pasti tidak akan terlepas dari masalah. Selagi manusia bernyawa, selagi itulah cabaran akan mengekori dan mungkin akan menghasilkan masalah yg terpaksa dihadapi. Ibarat pepatah yg diungkapkan oleh professor Hamka, “Manusia memang selalu lalai memperhitungkan bahawa dia bersalah. Setelah datang malapetaka secara tiba-tiba dia menjadi bingung lalu menyalahkan org lain atau menyalahkan takdir Ilahi.”

Namun sering kali kita akan berasa takut dan bimbang jika sesuatu masalah menimpa. Seolah-olah kita tidak nampak apakah jalan penyelesaian yg bakal merungkai segala permasalahan itu. Ia akan membuatkan kita berasa cemas dan gentar, bimbang masalah tersebut akan terus menghantui hidup. Namun tidak bermakna masalah itu akan terus kekal andai kita bijak utk merungkainya. Jika kita mempunyai cara bagaimana utk mencari jalan penyelesaiannya, maka masalah itu akan terlerai dari diri kita sendiri.

FIKIRLAH SECARA RASIONAL

Sebagai manusia yg dikurniakan akal dan fikiran, seharusnya kita lebih bertindak rasional dlm menghadapi sesuatu situasi. Walaupun situasi itu agak menyulitkan namun tindakan yg diambil itu akan mempengaruhi setiap apa yg kita lakukan. Ada kalanya situasi yg sulit akan menjadi mudah jika kita berjaya mengatasinya dgn penuh rasional. Dan jangan lekas bingung andai masalah itu bertambah rumit hanya kerana kita tidak mempunyai resipi tersendiri bagaimana cara utk meleraikannya.

TIDAK SEMUA MASALAH ITU MENYEKSAKAN

Bukan semuanya masalah itu menjadi racun dalam hidup kita. Jangan menganggap semua masalah yg melanda itu sebagai hempedu kerana ada kalanya ia mendatangkan manfaat dan kebaikan pada diri kita. Terpulang pada jenis masalah yg dihadapi. Bukan itu saja, masalah juga mampu mencabar nilai diri dan maruah, jadi jangan sesekali mempamerkan sikap negatif dan pasif apabila menghadapi masalah.

Sebenarnya individu yg bangkit dari kegagalan dan kekecewaan lalu akan lebih bermotivasi tinggi utk menuju ke arah kejayaan. Mereka lebih berkeyakinan dan tabah menghadapi sebarang cabaran yg merintang kerana pengalaman lalu telah berjaya mematangkan diri mereka. Malah mereka juga semakin utuh utk merentasi batas-batas cabaran dan memiliki kekuatan yg lebih nyata utk menempuhnya. Mereka sering menganggap cabaran itu sebagai satu semangat yg boleh membangkitkan keyakinan dlm menghadapi serta menempuh liku-liku kehidupan.

Oleh itu berusahalah utk bersikap lebih rasional dalam menempuhi cabaran hidup. Seharusnya tanamlah sikap positif dan lebih terbuka dlm diri kita terutamanya ketika menghadapi situasi yg agak menyulitkan. Jangan sesekali bersikap emosional kerana ia tidak akan mendatangkan kesan yg baik malah mungkin boleh memburukkan lagi keadaan. Bukan itu saja, elakkan dari merasa dukacita dan kecewa yg berpanjangan kerana ia mampu mempengaruhi dan menguasai pemikiran manusia. Kehidupan adalah sesuatu yg perlu dihargai. Org yg berhak menghargai kehidupan adalah diri sendiri. Org yg berhak menghargai kehidupan adalah diri sendiri. Juga kitalah yg berhak dlm menentukan hala tuju dan destinasi. Sebaik saja usia mencecah baligh, kematangan harus lebih terserlah. Jadikan kematangan dan akal fikiran sebagai benteng dalam melaksanakan sesuatu agar hidup ini tidak tergelincir dri landasan yg sepatutnya.