Tanda Anda Sudah Matang

December 31st, 2008

- Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai

- Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa

- Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung

- Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka

- Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat

- Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain

- Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda

- Anda dapat menerima kritikan atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya

- Anda memandang jauh ke depan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.

- Anda memberi persetujuan kepada pendapat-pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang

- Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati

- Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu

- Anda menghadapi orang-orang tua atau orang-orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif

- Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna

- Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya

- Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai

- Anda dapat menwujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka

- Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa mengambil apa-apa kesempatan ke atas mereka

- Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara baik, disenangi dan dihormati mereka.

Tentang Cinta

December 29th, 2008

Cinta……

Sekiranya kamu dapati dirimu menyintai seseorang yang tidak membalas cintamu, janganlah merasa tersisih dan sedih. Tiada salahnya menyintai seseorang kerana cinta tidak memilih untuk singgah di hati seseorang.

Sekiranya kamu dicintai oleh seseorang yang tidak kamu cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat dirimu tetapi selitkan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur. Jangan ambil kesempatan dan janganlah melukakan.

Bagaimana kamu mengurusi cinta begitulah kamu mengurusi dirimu dan setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan dan kebahagiaan yang serupa sekalipun cara kita mengendalikannya berbeza.

Sekiranya kita bercinta dengan seseorang yang begitu menyintai diri kita dan tiba tiba cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakanlah cinta itu pergi. Kerana setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi. Dan kita akan menyedari apabila masa silih berganti.

Ingatlah bahawa jangan terlalu memilih cinta. Kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa. Kamu hanya perlu menerima kehadiran cinta itu dengan segala misteri didalamnya apabila ia datang mengetuk pintu hatimu. Nikmatinya sebagaimana ia membuat hidupmu bahagia dan bebaskan ia. Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ianya pernah singgah di hati kamu…

” Saya sayang awak! “

Cara membina diri menjadi wanita cantik

December 29th, 2008

Oleh Roha Haasan

Kecantikan adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua insan. Kecantikan mempunyai pelbagai tafsiran bergantung kepada individu.

Helen Gurley Brown, dalam bukunya bertajuk “Action For Success” mengungkapkan kecantikan sebagai, “Beauty can’t amuse you, but brainwork- reading, writing, thinking - can”.

Bagi seorang gadis remaja, kecantikan ialah ‘tubuh langsing, kulit putih gebu dan senyuman menawan’ manakala remaja lelaki pula melihat kecantikan dalam bentuk ‘tubuh gagah dan sasa’.

Dalam mengungkapkan sifat Allah terhadap kecantikan dan keindahan, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha indah dan menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi).

Apa pun pandangan kita, kecantikan tetap memiliki tempat dan kepentingan tersendiri, lebih-lebih lagi untuk remaja.

Berikut beberapa panduan kecantikan yang perlu dimiliki oleh remaja jika ingin menjadi “insan cantik”:-

Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan

Pada usia muda, seorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai.

Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng dari kebenaran. Barang siapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, adapun orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam.” (Surah Al-Jin:14-15)

Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat

Seorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat.

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.”

Berilmu pengetahuan dan bermaklumat

Seorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.

Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda

Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah.

Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan menyerlahkan kecantikan seseorang remaja.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, yang berkata, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang.”

Menghormati diri dan orang lain

Hormatilah diri anda. Seseorang remaja mesti tahu menghormati diri dengan menjauhi tingkah laku yang boleh menyebabkan pihak lain hilang rasa hormat kepadanya. Jauhi kegiatan dan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Hormatilah guru yang mendidik anda, rakan dalam pergaulan, warga emas, orang yang lebih tua dan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Abdullah Ibnu Umar, meriwayatkan bahawa seseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Islam bagaimanakah yang paling baik?” Nabi menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau yang tidak kamu kenal”

Berlaku adil

Keadilan adalah salah satu ‘kecantikan’ yang mesti diamalkan oleh remaja. Ia merangkumi kehidupan harian. Seseorang remaja harus berlaku adil dalam pergaulan dan semasa membuat pertimbangan. Remaja yang adil dapat membezakan di antara yang baik dan buruk dengan jelas. Mereka dapat menunaikan hak diri dan makhluk lain dengan tepat.

Menjauhi maksiat

Remaja cantik mesti menjauhkan diri daripada maksiat. Mereka takut kepada firman Allah, yang bermaksud: “Sudah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah Ar-Rum: 41).

Faham hak dan tanggungjawab sebagai rakyat

Sebagai remaja cantik, anda mestilah tahu keadaan semasa tanah air. Remaja mesti mengetahui sejarah kemerdekaan tanah airnya. Anda mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tahu hak sebagai rakyat.

Mesra alam

Alam semesta ciptaan Allah tidak saja didiami oleh manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan. Seseorang remaja yang menunaikan hak dengan memelihara alam dan menyayangi haiwan adalah remaja berakhlak mulia. Amalan ini akan diberikan ganjaran setimpal oleh Allah.

Prihatin dengan masalah sejagat.

Remaja yang cantik akhlaknya berusaha mempelajari apa yang berlaku di luar negara untuk dijadikan iktibar. Sebagai remaja, kita mesti menunjukkan keprihatinan dengan pergolakan yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

PENULIS adalah pengurus kelab remaja JIM dan Beliau boleh dihubungi untuk pertanyaan melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com

Daya pemikat pada manusia

December 29th, 2008

BEBERAPA tokoh terkenal di dunia membuktikan bahawa golongan lelaki tidak memerlukan wajah dan tubuh menarik untuk memperoleh wanita cantik sebagai isteri mereka.

Tokoh-tokoh terkenal itu yang berjaya membuktikan mereka tetap mendapat gadis jelita itu adalah ahli perniagaan Australia, James Parker, penyanyi terkenal, Billy Joel, penulis lagu, Lyle Lovett dan taikun Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Parker kini berkahwin dengan model jelita dan penyanyi, Erica Baxter manakala Joel yang berumur 55 tahun pada Oktober 2004 berkahwin dengan selebriti televisyen yang berusia 23 tahun, Katie Lee.

Lovett pula yang memiliki wajah tidak tampan pernah mendirikan perkahwinan dengan aktres jelita dan terkenal di dunia iaitu Julia Roberts.

Trump yang merupakan taikun terkenal selepas menerbitkan program realiti The Apprentice juga berjaya memikat gadis jelita, Melania Knauss dari Slovenia dan mereka mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2005.

Dalam satu kajian yang mendedahkan rahsia daya tarikan, para psikologi kini membongkar kesan kejayaan dalam permainan ‘temu janji.’

Bagi kebanyakan pihak, ia merupakan satu kejutan kecil.
Golongan wanita tidak semestinya terpikat dengan gaya fizikal lelaki tetapi lebih kepada pengaruh, kuasa, kekayaan dan status.

“Wajah tidak dianggap sebagai sesuatu yang penting kepada wanita.

“Mereka lebih melihat beberapa perkara lain seperti kewangan dan keselamatan,” kata seorang penulis buku dan pakar psikologi, Viren Swami.

Kajian itu yang terdapat dalam buku The Psychology Of Physical Attraction turut memuatkan daya tarikan lain yang terdapat pada bentuk pinggang.

Menurut buku itu, orang ramai yang terlibat dalam kemalangan dipercayai akan mudah diselamatkan jika mempunyai berat badan normal berbanding dengan rakan mereka yang memiliki berat berlebihan.

Bagaimanapun, untuk menjadi daya penarik untuk lelaki, tubuh badan langsing bukannya satu penentuan yang dianggap sebagai penting.

Apa yang lebih penting adalah nisbah pinggang dan pinggul seseorang wanita.

Seorang penulis buku, Andrian Furnham berkata, jika nisbah pinggang dan pinggul itu adalah rendah, daya tarikan itu akan menjadi lebih menarik seperti aktres Scarlett Johansson dan Marilyn Monroe.

Furnham berkata, masyarakat kini sudah berubah untuk menilai ketampanan seseorang lelaki dengan meninggalkan bentuk badan seperti watak Tarzan kepada bentuk tubuh aktor terkenal, Brad Pitt.

“Kita semua terlibat untuk mencari daya tarikan yang dimiliki oleh manusia.

“Bagaimanapun, petunjuk bagi mengiktiraf kecantikan sudah berubah sejak bertahun-tahun lalu,” katanya.

“Kami masih meneliti beberapa petunjuk lain seperti kesihatan dan wajah yang berbentuk simetri dianggap mempunyai daya penarik kerana orang ramai mengaitkannya dengan kesihatan selain mampu melahirkan anak-anak yang sihat.

“Ketika ini, kita menghakimi seseorang dengan hanya melihat tubuh badan mereka dan kemudian meneliti ciri-ciri kecantikan wajah yang dimiliki mereka,” tambahnya. – Agensi

Tulang Rusuk Yang Patah

December 29th, 2008

Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?” tanya Dara.
“Sudah pasti kamu!” balas Jejaka.
“Pada pandangan kamu, aku ini siapa?” tanya Dara lagi.

Jejaka diam sejenak, berfikir, lalu menatap Dara dengan tenang dan berkata, “Kamu adalah tulang rusukku! Ada tertulis, Tuhan melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam tidur, Tuhan mengambil rusuk dari Adam dan menciptakan Hawa. Semua lelaki mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, dia tidak lagi merasakan sakit di hati.”

Mereka kemudiannya bernikah dan melalui masa-masa yang indah dan manis untuk sesaat. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kepenatan hidup yang kain mendera. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain.

Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari, pada akhir sebuah pertengkaran, Dara membentak, “Kamu tak cintakan aku lagi!”

Jejaka sangat membenci ketidakdewasaan Dara dan secara spontan membalas, “Aku juga menyesal menikah dengan kamu! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!”

Dara terkedu, berdiri terpaku untuk beberapa saat. Matanya basah. Dia menatap Jejaka, seakan tak percaya dengan apa yang telah didengarnya tadi. Jejaka pula menyesal dengan apa yang sudah dia ucapkan. Tetapi seperti air yang telah tertumpah, ucapan itu tidak mungkin untuk ditarik kembali. Dengan linangan air mata, Dara mengemas barang-barangnya, bertekad untuk berpisah.

“Jika aku bukan tulang rusukmu, aku akan pergi! Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing.”

Lima tahun berlalu…

Jejaka tidak menikah lagi, tetapi berusaha mencari khabar tentang kehidupan Dara. Khabarnya Dara pernah menikah dengan seseorang selepas itu, tetapi jodohnya tidak panjang juga. Jejaka yang tahu semua tentang Dara, merasa kecewa kerana dia tak pernah diberi kesempatan untuk kembali. Dara tak pernah menunggunya.

Suatu malam yang sunyi, saat Jejaka menghirup secawan kopi panas, dia merasakan ada yang sakit di dadanya. Tapi dia tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan Dara. Ditakdirkan mereka bertemu kembali secara tidak sengaja.

“Kamu apa khabar?” tanya Jejaka.

“Baik-baik saja. Hmm, apakah kamu sudah menemukan rusukmu yang hilang?” tanya Dara spontan.

“Belum,” jawab Jejaka sepatah.

“Aku akan ke luar negara esok. Mungkin akan pulang dua minggu lagi,” beritahu Dara.

“Telefon aku kalau kamu sempat. Kamu tahu nombor telefon rumah kita, bukan? Masih tidak berubah. Dan, tak akan ada yang berubah,” kata Jejaka.

Dara tersenyum kemudian berlalu.

Seminggu kemudian, Jejaka mendengar khabar bahawa Dara mengalami kemalangan, dan meninggal.

Malam itu, sekali lagi, Jejaka menghirup kopi panas dan kembali merasakan sakit di dadanya. Akhirnya dia sedar bahawa sakit itu adalah kerana Dara - tulang rusuknya sendiri, yang telah dengan bodohnya dia patahkan

Antara Aku Atau Dia?

December 26th, 2008

Kamu meragui hubungan si dia dengan sahabatnya sendiri? Apakah yang harus dilakukan? Mendiamkan diri atau memintanya berterus-terang?

Daripada mengusir sahabat baik kekasih kamu, lebih baik kamu berusaha untuk menjadi temannya juga.

“KAMI cuma sahabat dan tidak lebih daripada itu,” jelas Fendi setiap kali Rina berbicara tentang persahabatannya dengan Zana yang diakuinya sebagai kawan baik.

Menurutnya, kekasihnya Rina bukan tergolong di dalam kategori individu yang kuat cemburu buta.

“Saya percaya dengan cinta Fendi tetapi kehadiran Zana dalam hubungan kami membuatkan saya berasa kurang selesa. Saya berasa seolah-olah menjadi orang asing ketika berada di antara mereka,” kata pula Rina.

Melihat situasi tersebut, Rina bukanlah seorang yang boleh dikatakan kaki cemburu buta. Hubungan yang dijalinkan selama ini adalah atas dasar saling mempercayai dan ketelusan hati.

“Bukan niat untuk mempersalahkan rakan-rakan wanita Fendi tetapi entah kenapa apabila teringatkan Zana, saya berasa kurang selesa,” luah hati Rina.

Pada posisi yang sama, kamu mungkin pernah merasai dilema yang dihadapi Rina bukan? Dan perkara itu jugalah membuatkan kamu berasa serba salah.

Menyuruh dia memilih di antara sahabat dengan kamu, jelas ia bukanlah satu jalan keluar yang bijaksana. Belum tentu pula tuduhan yang kamu lemparkan itu terbukti kebenarannya.

Bagaimana harus diselesaikan? Hendak mengabaikannya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, mungkin kamu tidak sanggup. Untuk sementara waktu, kamu hanya perlu mempertimbangkan kembali hubungan mereka sama ada masih berada di zon yang selamat ataupun dalam potensi yang membahayakan hubungan kamu berdua.

Cuba siasat adakah si dia menunjukkan gejala seperti ini:

*** Bila mereka teman sepejabat, hampir setiap hari mereka menghabiskan waktu bersama. Menikmati makan tengah hari berdua, melakukan tugasan luar bersama, sehingga berani pergi ke tempat yang jauh dari pandangan awam.

Lainlah sekiranya si dia berada bersama teman-teman lain juga. Mungkin kamu dapat menerima situasi sebegitu. Tetapi, hal ini melibatkan mereka berdua sahaja. Hati-hati kerana sesuatu akan berlaku tanpa mereka sedari.

*** Si sahabat karibnya itu memahami setiap inci persoalan dalam hubungan kamu berdua. Bahkan dia lebih kenal setiap pertimbangan dan gelaran diri kamu sendiri. Yang pasti, sahabatnya itu berani mengorek setiap permasalahan dalam hubungan kamu yang bukan urusannya.

*** Mengambil alih posisi kamu. Misalnya, sahabat si dia cuba memberi perhatian yang lebih kepadanya berbanding kamu. Menelefon tanpa mengenal waktu dan tempat atau cuba mengaturkan setiap pergerakan si dia. Paling menonjol apabila pertemuan di antara mereka berlaku hampir setiap hari kerana si dia lebih mementingkan sahabatnya.

*** Si dia kerap berbicara tentang sahabatnya di hadapan kamu dan membanding-bandingkan kamu dengan dia. Kalimat yang seringkali diucapkan, “Zana bukanlah seorang wanita yang mudah mengambil kesempatan terhadap perhubungan kita, dia bukan begitu, dan dia tahu apa yang saya suka”.

*** Si sahabat sering mengapi-apikan kamu bahawa dialah yang paling memahami hati pasangan kamu. Dengan bangganya, dia menceritakan sejauh mana keakraban mereka berdua.

Nah, apabila kamu menyedari si dia dan sahabatnya dalam kategori tiga mata di atas, sudah tiba masanya kamu mengambil tindakan yang selanjutnya. Bagaimana?

Ajak bertemu

Apabila si dia dilihat sering menghabiskan waktu bersama, katakan padanya kamu ingin bertemu dengan sahabatnya itu. Jika dia menolak, kamu sebaiknya berwaspada.

Ini kerana, si dia bimbang sesuatu perkara akan timbul di antara mereka. Situasi ini sememangnya perlu dititikberatkan.

Tidak bertanya, curiga jadinya

Jangan terburu-buru melemparkan tuduhan melampau atau buruk sangka apabila melihat keakraban mereka. Lihat pada situasi atau keadaan ketika itu dan cuba mempersoalkannya secara profesional.

Harus diingatkan, apabila kamu bertanya dalam tutur kata yang lembut atau dalam nada seolah-olah ia bukanlah satu persoalan besar, mungkin si dia akan menjelaskannya. Justeru, ketika berbicara, tatap mata dan bahasa tubuhnya, adakah si dia jujur berkata-kata ataupun tidak.

Jangan menyalahkan si sahabat

Walaupun marah atau benci sekalipun, janganlah mengutuk atau membuat tuduhan kepada sahabatnya di hadapan si dia. Nescaya, kamu tidak akan dibela olehnya, malah sebaliknya.

Persoalan ini sebenarnya melibatkan kamu dan si dia. Apakah yang membuatkan hubungan kamu tidak selesa? Apakah yang membuatkan kepercayaan kamu kepadanya kian luntur? Hal ini perlu dicari punca penyebab dan jalan penyelesaian.

Berterus-terang

Bicarakan kegelisahan kamu selama ini terhadapnya. Ketika berbicara, fokus pada permasalahan bagaimana persahabatan mereka mengganggu hubungan kamu berdua.

Katakan saja, ’sekarang kamu berada di sisi saya, jangan asyik menelefon dan bermain mesej sahaja, ini menyebabkan kita tidak mempunyai banyak masa untuk bicara.’ Sekiranya, dia bertanyakan adakah kamu mencemburui akan hubungannya dengan sahabat? Katakan dengan tegas, ‘Ya, saya memang cemburu.’

Manfaatkan si dia

Daripada memusuhi atau mengusir sahabatnya, lebih baik kamu berusaha menjadi temannya juga. Ambil dari sudut positif. Dengan cara ini, kamu mempunyai kesempatan untuk mengawal pergerakannya dengan si sahabat. Kamu juga berkesempatan mengenal erti persahabatan dalam hidupnya.

~ Kosmo!

Cinta Magnet Pikat Pasangan

December 26th, 2008

Perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka.

Bagaimana pula wanita memberi tafsiran mengenai cinta terhadap lelaki? Biarpun lelaki dan wanita diciptakan Allah dalam bentuk berbeza, hakikat cinta tidak mampu dinafikan sesiapa.

Renungi perkara berikut yang boleh mendorong seseorang itu untuk terpikat antara satu sama lain:

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan menanti yang biasanya tidak jauh daripada diri anda. Jarang seseorang itu bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakal, insyaAllah akan menemukan diri dengan pasangan.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup dengan sempurna supaya diri menjadi seperti magnet yang menarik bakal pasangan kepada diri anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati daripada perasaan negatif.

6. Untuk memudahkan orang menyayangi diri anda, bersihkan hati dengan menjaga ibadah, solat taubat, beristighfar, membaca al-Quran, memaafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik kasih sayang kepada anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan akan membenci anda.

8. Mereka yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, diri harus sentiasa menarik kerana tanggapan pertama adalah paling penting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama.

10. Buka hati dan minda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata dengan memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni terhadap pasangan dengan gelombang fikiran secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan.

14. Tidak salah bagi wanita memulakan usaha perkenalan. Lelaki akan sentiasa berasa mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya si wanita yang memulakannya.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati serta bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan pada bakal pasangan.

16. Beri tumpuan pada minat dan perasaan pasangan. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera supaya si dia rasa selesa.

18.Semakin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain.

20. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang ringkas, bersahaja, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan reda dengan setiap pemberian lelaki berkenaan.

21. Untuk lelaki, usah terlalu berjimat atau kedekut.

22. Lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan seperti perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

23.Elakkan memberi tumpuan pada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada si dia. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

10 Tanda Wanita Menolak Anda

December 26th, 2008

Pernahkah anda terpandang seorang wanita yang sangat menarik lalu ingin mendekatinya? Naluri ingin rapat dan mengenali seseorang adalah sangat biasa bagi seorang lelaki mahupun wanita.

Apabila sudah mula kenal, anda ingin jauh lebih mendekati dirinya, kalau boleh ingin menyayangi, mencintainya serta ingin sentiasa berada disisinya. Namun adakalanya anda hanya menyimpul impian. Gadis yang kita minati itu umpama “jinak-jinak merpati”. Dia nampak seperti menyenangi anda tetapi sebenarnya dia hanya menganggap anda tidak begitu istimewa di hatinya. Berikut adalah tanda-tanda gadis yang sebenarnya “menolak” pelawaan anda untuk menjadi pasangan anda. Kalau anda sudah terlihat tanda begini, berhati-hatilah. Jangan terlalu menaruh hati.

1. Dia tidak membalas panggilan anda
Siapa yang tidak riang bila si dia menelefon. Sekalipun hanya bertanya khabar berita atau mendendangkan kata-kata romantis, ia sesuatu yang ditunggu-tunggu. Tapi tatkala anda menelefon dan dia mengelak menjawabnya, ia petanda awal anda bukanlah istimewa sangat. Lebih buruk jika anda meninggalkan mesej dan dia tidak membalasnya.

2. Dia cuba ‘menjodohkan’ anda dengan kawannya
Jika anda menyuarakan isi hati, tiba-tiba si gadis memberitahu anda nampak sepadan dengan kawannya atau si polan dan si polan. Dia akin bersungguh-sungguh memuji orang lain dan menyakinkan anda bahawa anda tersilap memilihnya. Nampak sangat dia sebenarnya tidak tertarik dengan anda.

3. Tiada bahasa tubuh
Selain kata-kata, bahasa tubuh memberikan banyak petanda. Dari pandangan mata, sentuhan tangan dan sebagainya sudah menggambarkan dia memang bahagia. Kalau tiada semua itu, bermakna anda hanya kawan biasa baginya.

4. Menolak pelawaan anda dengan baik
Apabila sudah saying, sebenarnya orang sanggup berkorban apa saja. Namun kalau dia menolak dan berasa takut-takut dengan anda tatkala anda mengajaknya keluar, faham-faham sajalah penting atau tidak anda di sisinya.

5. Tidak mahu jalin perhubungan terlalu rapat
Dari salam perkenalan anda ingin menjalin perhubungan yang lebih erat. Malah kalau boleh menyayanginya dengan sepenuh hati. Namun kalau dia sudah menolak anda awal-awal lagi dan memberitahu tidak mahu menjalin hubungan yang lebih serius, fahamlah sendiri maksudnya.

6. Dia berikan perhatian lebih kepada ‘kawan’ anda.
Dalam satu sesi perjumpaan bersama kawan-kawan, tatkala kawan anda membuat lawak, si dia beria-ria ketawa, seakan memberitahu menyenangi lawak tersebut. Malah setiap kali kawan anda membuka mulut bacteria, si dia Nampak begitu tertarik. Tapi saat anda bercakap, si dia kurang memberikan perhatian malah sering memotong percakapan anda dengan sepantas mungkin.

7. Dia bercakap tentang lelaki lain
Kecuali Brad Pitt yang cukup terkenal dengan ketampanannya, si dia tidak begitu teragak-agak bercerita tentang lelaki lain di hadapan anda setiap kali anda keluar berdua. Si dia akin mengatakan dia begitu tertarik dengan karisma si dia tanpa langsung mempedulikan perasaan anda. Jika inilah hal yang berlaku, faham sajalah siapa anda disisinya. Lebih baik jangan terlalu perasan!

8. Dia sentiasa bawa kawan bersama
Bayangkan situasi anda setiap kali anda mahu mengajaknya keluar, si dia bersetuju dengan pelawaan anda itu. Dia bertemu anda tetapi malangnya dalam pertemuan tersebut, dia turut membawa kawannya bersama. Ini menunjukkan dia bukan jenis mahu menghampakan perasaan anda dan sebab itulah dia bersetuju membawa kawan menemaninya. Anda pula tidak boleh marah-marah sebaliknya perlulah sedar, dia bukannya mahu keluar dengan anda.

9. Si dia tidak memperkenalkan kawan-kawannya
Satu lagi petanda bahawa si dia tidak berminat untuk meneruskan perhubungan dengan anda adalah apabila si dia tidak pernah mahu memperkenalkan siapa kawan baiknya kepada anda. Dia mungkin boleh berbual atau berborak dengan anda tetapi dia tetap menyembunyikan kawan-kawannya dari anda.

10. Dia tolak pelawaan anda keluar
Ini mungkin perkara akhir yang perlu anda ambil perhatian. Setiap kali anda mengajaknya keluar, si dia sengaja memberi pelbagai alasan asalkan tidak keluar dengan anda. Justeru itu, kalau 10 kali anda mengajaknya tetapi cuma sekali dua disambut, itu bermakna dia tidak berminat langsung dengan anda.

Cara Si Dia Menguji Cinta

December 26th, 2008

Demi menguji sejauh mana kesetiaan yang diberikan, si dia sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan ketulusan cinta yang dibina.

ALAHAI lelaki, walaupun sudah berkali-kali si dia mengucapkan perkataan cinta, namun masih tidak cukup untuk membuktikan kesetiaan terhadap mereka.

Seandainya si dia memiliki kriteria yang diimpikan, tetapi bagi sesetengah jejaka itu bukanlah faktor yang membuatkan dia memilih kamu. Pelbagai cara dilakukan demi menguji kesetiaan yang dibina.

Tidak dinafikan, mereka mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri dalam mengenalpasti kesetiaan yang diberikan, sepanjang menjalinkan hubungan bersama teman wanitanya.

Yang pasti, dia akan cuba melakukan pelbagai cara dalam menentukan sama ada anda layak ataupun tidak bertakhta di hatinya.

Adakah si dia materialistik? Sering menjadi persoalan kebanyakan kaum lelaki. Untuk mengetahui sejauh mana tahap materialistik anda, mereka akan menguji dengan cara ini:

Memberi hadiah murah

Reaksi kamu: Sering bertanyakan soal harga, jenama, di mana membelinya dan tidak mahu sesekali menyimpan barang tersebut. Kamu gagal.

Reaksi kamu: Gembira dengan pemberian yang amat bermakna dan terus memakainya. Kamu lulus.

Mengajak menikmati hidangan yang murah

Reaksi kamu: Menolak ajakannya, tidak mahu menikmati hidangan yang disediakan dan menunjukkan rasa marah. Anda gagal.

Reaksi kamu: Tidak keberatan menunaikan permintaannya dan menikmati hidangan dengan penuh selera. Anda lulus.

* Perkara yang melemahkan perasaan wanita apabila diuji tahap cemburu. Sesetengah golongan lelaki sentiasa ingin mengetahui sejauh mana perasaan cemburu kekasihnya. Sama ada berat mahupun tidak, dia akan menguji dengan cara ini:

Mengenalkan kepada kamu bekas teman wanitanya.

Reaksi kamu: Mula mempamerkan wajah yang muram dan sering menanyakan tentang hal berkaitan keperibadian perempuan itu sebaik sahaja diperkenalkan. Anda gagal.

Reaksi kamu: Sentiasa menghulurkan senyuman bahkan memuji perempuan itu di hadapannya. Anda lulus.

Menelefon wanita lain di hadapan kamu

Reaksi kamu: Marah dan mengatakan bahawa kamu tidak suka dia menelefon perempuan lain. Anda gagal.

Reaksi kamu: Bersikap tenang seolah-olah hal itu bukan suatu masalah yang besar. Anda lulus.

Hubungan bekas teman lelaki. Rasa ingin tahu sejauh mana hubungan kamu dengan bekas teman lelaki adalah cara dia mengetahui sejauh mana cinta kamu terhadapnya. Ia akan menguji dengan cara ini:

Bertanyakan khabar bekas teman lelaki

Reaksi kamu: “Oh, dia semakin sihat, kami baru saja berjumpa pada minggu lepas”. Anda gagal.

Reaksi kamu: “Kenapa saya perlu mengetahui tentang khabar si dia, sedangkan hati saya telah dimiliki”. Anda lulus.

Adakah kamu masih menjalinkan hubungan dengannya?

Reaksi kamu: Marah sambil mengutuk keburukan bekas kekasih. Anda gagal.

Reaksi kamu: “Kami masih berkawan, tetapi tidak serapat seperti dahulu”. Anda lulus.

Mengukur tahap kesetiaan. Demi menginginkan kejujuran dan kesetiaan daripada insan yang paling disayangi, si dia akan menguji kesetiaan kamu dengan cara berikut:

Pergi melancong

Reaksi kamu: Tidak pernah menghubungi si dia atau tidak pernah bertanyakan tentang dirinya dan lebih memberi keutamaan kepada teman-teman lain. Anda gagal.

Reaksi kamu: Menghubungi si dia setiap masa dan saling mengotakan janji. Anda lulus.

Meminta bantuan temannya untuk menggoda kamu

Reaksi kamu: Menerima pujukan temannya dan keluar makan bersama. Anda gagal.

Reaksi kamu: Menolak godaan temannya dan mengatakan kamu tidak tertarik dengan pujuk rayu itu. Anda lulus.

Makna Cinta Dan Perkahwinan

December 26th, 2008

Suatu ketika Plato terlibat dalam perbincangan dengan gurunya…

Plato bertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab:

“Masuklah ke dalam hutan, pilih dan ambillah satu ranting yang menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang. Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut”.

Maka masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato tanpa membawa sebatang ranting pun. Gurunya pun bertanya, maka jawab Plato:

“Saya sebenarnya sudah menemui ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali di depan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan ternyata ranting yang sudah saya tinggalkan tadilah yang terbaik. Maka saya keluar dari hutan tanpa membawa apa-apa.”

Guru itupun berkata:

“Itulah cinta”

Lalu Plato pun bertanya apakah makna perkahwinan

Guru pun menjawab:

”Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pohon yang kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan.”

Maka masuklah Plato ke dalam hutan dan keluarlah Plato dengan membawa pohon yang tidak terlalu tinggi juga tidak terlalu indah.Gurunya pun bertanya, maka jawab Plato:

“Saya bertemu pohon yang indah daunnya, besar batangnya…tetapi saya tak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan…akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya menemui pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya pikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemui pohon seperti ini didepan sana. Akhirnya saya pilih pohon ini kerana saya yakin mampu merawatnya dan menjadikannya indah.”

Lalu sang guru berkata:

“Itulah makna perkahwinan.”

Begitu banyak pilihan di depan kita seperti pohon-pohon beserta rantingnya di dalam hutan, tapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih…tidak satupun akan kita dapati, kerana kesempatan itu hanya sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang beredar ke depan yang tidak pernah tersimpan pada hari semalam, kelmarin atau bersemayam pada masa lalu kita.