Kasih Sayang Seorang Adik

December 26th, 2008

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

“Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:

“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”

“Tapi apalah maknanya bang… !” aku terdengar ibu teresak-esak.
“Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?”

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. “Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg… .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”

“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

“Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat… ..

“Kak… untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: “Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”

“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. “Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”

“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.”

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

“Tak… .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.

Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”

Apalagi… aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.

“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”

“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.

“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”

Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya… .”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar.”

“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Kedamaian Hati Adalah Kedamaian Sejati

December 26th, 2008

Seorang raja mengadakan sayembara dan akan memberi hadiah yang melimpah kepada sesiapa sahaja yang mampu melukis tentang kedamaian. Ada banyak seniman dan pelukis berusaha keras untuk memenangi pertandingan tersebut.

Sang raja berkeliling melihat-lihat hasil karya mereka. Hanya ada dua buah lukisan yang benar-benar disukainya. Tapi sang raja harus memilih satu di antara kedua-duanya.

Lukisan pertama menggambarkan sebuah telaga yang tenang. Permukaan telaga bagaikan cermin sempurna yang memantulkan kedamaian gunung ganang yang tenang menjulang di sekitarnya. Di atasnya terpampang langit biru dengan awan putih berarak-arak. Semua yang memandang lukisan tersebut akan berpendapat bahawa itulah lukisan terbaik mengenai kedamaian.

Lukisan kedua juga menggambarkan tentang kawasan pergunungan. Namun tampak kasar dan gondol. Di atasnya terlukis langit yang gelap dan merah menandakan turunnya hujan badai dan petir sabung menyabung. Di sisi gunung ada air terjun deras yang berbuih-buih, sama sekali tidak menampakkan ketenangan dan kedamaian.

Tapi ada sesuatu yang menarik perhatian raja. Di balik air terjun itu tumbuh semak-semak kecil di atas sela-sela batu. Di dalam semak-semak itu seekor ibu pipit meletakkan sarangnya. Jadi, di tengah-tengah riuh-rendahnya air terjun, seekor ibu pipit sedang mengerami telurnya dengan damai. Benar-benar damai.

Kalau saudara pembaca, lukisan manakah yang rasa-rasanya memenangi pertandingan itu? Bagi Sang Raja, baginda memilih lukisan kedua. Tahukah anda mengapa? Kerana jawab Sang Raja, “Kedamaian bukan bererti anda harus berada di tempat yang tanpa kekacauan, kesukaran atau pekerjaan yang teruk atau sibuk. Kedamaian adalah hati yang tenang dan damai, meskipun anda berada di tengah huru-hara luar biasa.”

Moral: Kedamaian hati adalah kedamaian sejati.

Siapa Lebih Bagus?

December 26th, 2008

Syeikh Ibnu Khafif ialah seorang ahli sufi dari Parsi. Dia mempunyai dua orang murid yang mempunyai nama yang sama iaitu Ahmad. Untuk memudahkannya, dia memanggil Ahmad Tua untuk yang lebuh tua umurnya dan Ahmad Muda untuk yang lebih kecil. Antara dua kanak-kanak itu, Ibnu Khafif lebih menyayangi Ahmad Muda. Tindakannya ini tidak disenangi murid-murid lain. Mereka beranggapan Ahmad Tua lebih bijak dan berdisiplin berbanding Ahmad Muda.

Ibnu Khafif ingin menunjukkan sesuatu pada mereka. Pada suatu hari, dia membawa murid-muridnya ke rumah. Di hadapan rumahnya, terdapat seekor unta yang sedang tidur.

“Ahmad Tua, ke mari! Angkat unta itu ke atas loteng sekarang,”Ibnu Khafif memberi arahan.

Ahmad Tua garu kepala. “Mustahil, Tuan Guru. Unta itu kan besar. Mana boleh saya angkat sorang-sorang ke atas loteng.”

“Tak apa, cukuplah tu. Ahmad Muda, ke mari!” Ibnu Khafif memanggil Ahmad Muda pula. “Buat sebagaimana yang saya suruh tadi.”

Tanpa berkata apa-apa, Ahmad Muda terus menyingsing lengan baju dan mengetatkan ikatan pinggangnya. Kemudian dia mencangkung ke arah unta yang sedang tidur. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di bawah tubuh unta itu dan…

“Eeergh!!!” Dengan segala kudrat yang ada Ahmad Muda cuba mengangkat unta tersebut. Usahanya sia-sia sahaja. Unta itu sedikit pun tidak bergerak, maklum saja saiz haiwan itu yang besar manakan mampu diangkat oleh seorang kanak-kanak.

“Ahmad Muda. Cukuplah,” Ibnu Khafif menyuruhnya berhenti.

Ahli sufi itu memandang anak-anak muridnya dan berkata, “Kamu dah nampak, kan? Walaupun kamu lihat Ahmad Muda macam lurus bendul, itu tidak bermakna dia bodoh. Dia telah menjalankan tanggungjawab dnegan sedaya upaya walaupun ia kelihatan mustahil. Sedangkan Ahmad Tua hanya memberi alasan dan tidak mahu langsung berusaha. Antara kamu, siapa yang lebih bagus?” tanya Ibnu Khafif kepada mereka.

Pelajar-pelajarnya terdiam. Mulai hari itu, mereka mula menghormati Ahmad Muda.

Sifat Kita, Sifat Jengking

December 26th, 2008

Semasa berjalan-jalan di pinggir taman, seorang lelaki tua ternampak seekor kala jengking yang tergapai-gapai di dalam lopak. Jengking hitam sebesar ibu jari kaki itu berkali-kali cuba memanjat tebing, tapi setiap kali mencuba, ia jatuh semula ke dalam air.

Lelaki tua itu berasa simpati. Dicapainya jengking hitam itu, tapi belum sempat menyelamatkannya, haiwan itu menyengat jari lelaki tua itu. Sakitnya bukan kepalang. Ironinya, tiap kali disengat, orang tua itu tetap juga mencuba untuk mengangkat jengking hitam itu keluar dari lopak.

“Mengapa pakcik masih lagi nak menyelamatkan kala jengking ini? Dah berkali-kali pakcik disengatnya,tapi pakcik masih lagi nak mencuba. Kenapa?” Tanya seorang pemuda yang sejak tadi memerhatikan lelaki tua tersebut.

Orang tua itu menjawab,”Menyengat memang sifat semulajadi seekor kala jengking. Tapi sifat semulajadi manusia ialah menyayangi. Mengapa mesti kita korbankan sifat semulajadi kita itu kepada sifat semualajadi seekor haiwan?”.

Selepas berkata demikian, lelaki tua itu mencuba lagi mengeluarkan jengking hitam itu sehingga berjaya. Lelaki tua itu tersenyum puas biarpun bisa sengatan telah pun menular ke seluruh tubuhnya…

Bersama-samalah kita menghayati erti sebenar sifat semulajadi kita yang bernama manusia..

Kekuatan Sebuah Doa

December 26th, 2008

Siti adalah seorang yang miskin. suaminya sedang sakit dan sudah berbulan-bulan tidak dapat bekerja. dia memiliki tujuh orang anak kecil yang sedang kelaparan di rumah. Suatu hari Siti pergi ke sebuah supermarket Parkson Ria dengan bajunya yang compang-camping. Dengan teragak-agak dia memohon agar dibolehkan berhutang.

Encik Kamal, si pemilik supermarket mengusirnya keluar. Sambil terus menggambarkan situasi keluarganya, si ibuterus merayu.

“Tolonglah, encik. Saya janji akan segera membayar hutang tersebut setelah mendapat wang.”

Encik Kamal tetap tidak mengabulkan permohonan tersebut. alasan yang diberinya, “Kalau nak berhutang, awak perlu sekurang-kurangnya mempunyai kad kredit.”

Di kaunter pembayaran, ada seorang pelanggan lain bernama Nurhaliza, seorang gadis ayu yang dari awal mendengar dialog tersebut. Dia mendekati keduanya dan berkata: “Tak apalah, Encik Kamal. biar saya saja yang bayar untuknya.”

Kerana malu, si pemilik kedai akhirnya berkata, “Eh, takpelah, cik. Ini hal kecil aje. Kasihan juga saya tengok makcik ini.”

Sambil berfikir sejenak, Encik Kamal akhirnya berkata, “Beginilah, makcik. Tuliskan senarai barang keperluan yang makcik perlu dalam kertas ini dan timbangkan beratnya. Saya akan memberikan potongan harga secara percuma mengikut berat kertas itu.” katanya sambil tersenyum di dalam hati. sekurang-kurangnya tidaklah dia dianggap sebagai seorang yang tamak oleh gadis itu.

Dengan ragu-ragu dan hampir putus asa dengan tawaran tersebut, Siti menundukkan kepalanya sebentar sambil menulis sesuatu di atas kertas. setelah kertas tersebut diletakkan ke dalam timbangan, mata si pemilik kedai bagai terbeliak melihat jarum timbangan bergerak jatuh ke bawah secara mendadak. dia menatap pelanggan yang ingin menolong tadi sambil berbisik, “Benarkah apa yang aku lihat?”

Si pelanggan yang baik hati itu hanya tersenyum.

Semasa Siti mengambil barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal diam-diam mengalihkan kertas tersebut ke sisi timbangan yang lain. tetapi jarum timbangan masih jatuh ke bawah seolah-olah diletakkan guni pasir. Setelah siti mendapatkan semua barang-barang yang diperlukannya, Encik Kamal terus mengangkat barang-barang tersebut ke atas timbangan, sehingga tidak muat lagi tetapi masih tidak mampu menimbangi berat kertas tersebut.

Walaupun berasa aneh dengan fenomena itu, Encik Kamal tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara itu berlaku di luar jangkaannya. Setelah mengucapkan terima kasih, Siti beredar pulang ke rumah dengan hati gembira, sambil mengendong barang-barang yang diperolehnya. Suami dan anak-anaknya sedang setia menanti di rumah.

Setelah Siti hilang dari pandangan, si pemilik kedai diam-diam membelek kertas di atas timbangan tersebut. Tertulis sebuah doa pendek: “Tuhan, hanya Engkau Maha Mengetahui apa yang hambaMu perlukan. Hamba menyerahkan segalanya ke dalam tanganMu.”

Apabila diteliti, akhirnya Encik Kamal mendapati timbangan yang dipakai tersebut ternyata rosak. Dia menyesal dan malu dengan keangkuhan dirinya sendiri.

Pengajaran: Hanya Tuhan yang Maha Memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Berdoalah kepada TuhanMu yang Maha Pengasih, nescaya akan dikabulkanNya. kekuatan sebuah doa terletak pada keyakinan dan penyerahan kita pada pertolongan Allah.

5 ayat tackle lapuk

December 26th, 2008

Penyampai radio HOT fm, Kartini Kamalul Ariffin atau Tini bosan mendengar lima ayat mengurat ini:

1. Hai, boleh berkenalan?

Selalunya digunakan bila kita berjalan-jalan di pusat beli belah atau bertembung sekumpulan jejaka nakal. Kalau sudah berjumpa di tempat awam macam itu dan kita langsung tidak kenal dia, jangan haraplah hendak berkenalan. Lagipun, kita tahu mereka cuma main-main!

2. Larilah laju sikit!

Biasanya apabila kita sedang beriadah atau joging di taman, ayat inilah yang diajukan. Taktik yang sangat menjengkelkan - sudahlah suruh orang lari laju-laju, dia pula melepak tepi bangku sambil menghisap rokok. Tolonglah!

3. Hai, boleh tak I minta nombor you?

Sering berlaku di majlis keramaian dan kalau lelaki bertanyakan nombor telefon tidak sampai 10 minit selepas berkenalan, nampak sangat dia terdesak! Lebih elok jika dia beri calling card. Kalau hendak juga menghubungi kita, sebagai permulaan saya fikir e-mel paling sesuai.

4. Hai, kawan saya di sana itu kata awak cun!

Selalunya di parti atau majlis sosial. Kalau seseorang lelaki hantar kawan sebagai wakil, saya rasa kurang kagum. Kalau hendak, datanglah sendiri.

5. Pheeeewit…pheeewit! Hai kak ngah, kak long, Zizah, Yati!

Pelik lelaki yang suka bersiul di depan wanita, macamlah kita ini anak kucing. Ini contoh lelaki yang tidak beradab dan tidak tahu menghormati wanita. Pangkah habis-habis!

6 Cara Memikat Perempuan

December 26th, 2008

Hati perempuan memang sukar untuk diduga. Menyelami hati mereka bermakna mencari apakah yang diingini oleh seseorang perempuan. Tanpa mengetahui terlebih dahulu serta memahami apakah yang mungkin boleh menyebabkan lelaki sukar mempertahankan hubungan yang dibina dan bakal berhadapan masalah ketika hidup bersama mereka nanti. Ketahuilah perempuan biasanya tidak sukakan lelaki yang mudah berputus asa, tidak dapat memberikan tumpuan atatu komitmen sepenuhnya terhadap satu-satu perhubungan, kedekut, berlagak pandai dan sebagainya. Jadi antara perkara yang boleh kamu lakukan dan perbaiki dari masa ke semasa untuk menjaga perhubungan kamu agar terus berkekalan.

1. Jadilah lelaki pemaaf

Untuk menjaga hati perempuan, kamu perlu belajar menjadi seorang lelaki yang pemaaf. Kalau sebelum ini, kamu memang trkenal dengan sikap ego dan sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain, apa salahnya untuk kebaikan hubungan yang terjalin kamu sedia memaafkan sebarang kesilapan yang mungkin dilakukan oleh teman wanita kamu. Bukan apa perempuan sebenarnya kana cair kalau berhadapan dengan lelaki yang mudah memaafkan mereka. Jangan sesekali menyimpan perasaan dendam atau cuba untuk membalas menyakiti hatinya semula suatu hari nanti. Sebaiknya kamu barkan sahaja apa yang berlaku berlalu, kerana perempuan sebenarnya lebih suka dimanja dan tidak sukakan lelaki yang pendendam. Dalam pada itu, pemaaf kamu hendaklah bertempat, jangan pula sampai kepala dipijak.

2. Jangan mudah berputus asa

Tanyalah kawan-kawan perempuan sekeliling kamu, lelaki macam manakah menjadi pilihan mereka untuk dijadikan teman. Pasti ramai yang memberikan jawapan, mereka impikan lelaki yang kacak, baik, jujur, bertanggungjawab dan juga tidak mudah berputus asa. Lelaki yang terus cuba dan mencuba untuk memenangi hati perempuan yang disukainya tanpa mengenal erti berputus asa akan berjaya. Ini kerana dengan kesungguhan yang kamu tunjukkan memberikan keyakinan pada perempuan bahawa kamu benar-benar ingin memilikinya. Biar sesukar manapun kamu perlu berusaha dan jangan sesekali tunjukkan rasa bosan atau mudah berputus asa sebab ada sesetengah permpuan berpura-pura jual mahal. Antara alasan mereka ialah ingin menilai tahap kesabaran dan kesungguhan kamu. Segalanya terletak pada niat kamu sendiri, apakah kamu benar-benar ikhlas atau sekadar untuk main-main sahaj? Jika benar hasrat kamu ikhlas an jujur, rasanya tidak menjadi masalah buat kamu untuk terus berusaha menawan hati si dia. Tetapi ingat, biarpun kamu suka ?gila? dengan si dia jangan sekali-kali mengiyakan semua yang di perkatakan oleh si dia kerana perempuanjuga sebenarnya tidak suka lelaki yang terlalu mengikut cakap mereka. Sebaliknya fikir dahulu sebelum membuat keputusan.

3. Komitmen

Masuk bab komitmen ni, sesetengah lelaki payah sikit untuk memberikan komitmen sepenuhnya terhadap sesuatu perhubungan. Sebab lelaki biasanya lebih terdedah pada dunia lepas bebas dan tidak suka dikawal. Malah ada antara mereka yang telah lama menjalin hubungan tetap masih lagi tidak suka dikongkong oleh kekasih sendiri. Bagaimanapun, keadaan ini berbeza dengan perempuan, mereka biasanya inginkan seseorang lelaki yang menjadi teman mereka, bersedia dan mampu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap ikatan yang terjalin. Bukan apa, mereka tidak mahu perhubungan yang dibina dipersia-siakan oleh lelaki tersebut. Jadi, apa yang perlu kamu lakukan di sini ialah kalau kamu benar-benar serius dan inginkan hubungan yang terjalin berlarutan ada baiknya kamu memberikan sedikit komitmen kerana lambat laun perelmpuan akan bosan dan tidak mustahil mereka akan meninggalkan kamu trkulat-kulat begitu sahaja. Siapa yang rugi.

4. Berlagak pandai

Satu hal lagi yang perempuan tak suka ialah lelaki yang berlagak pandai. Jadi kepada lelaki biarpun kamu tahu tentang sesuatu perkara ada baiknya jangan terlalu menunjuk-nunjuk lantaran ingn menarik perhatian si dia. Sebaiknya di awa perkenalan kamu hanya mengikut sahaja rentak teman wanita kamu, jangan pakai cakap lepas sahaja kononnya tahu itu dan ini kerana perempuan cukup menyampah dengan lelaki yang cakap tak serupa bikin. Tidak salah rasanya kalau buat-buat tidak tahu…

5. Berkongsi pendapat

Untuk menawan hati si dia kamu juga perlu meluangkan masa untuk meminta sebarang pendapat mengenai apa-apa keputusan yang ingin kamu ambil. Memang benar yakin pada diri sendiri penting sewaktu membuat keputusan untuk melakukan sesuatu perkara. Tetapi dengan meminta pandangan daripada si dia akan membuatkan hubungan yang terbina lebih mesra kerana perempuan akan rasa lebih dihargai apabila kamu meminta pendapat daripada mereka. Yang penting kamu jangan mengabaikannya begitu sahaja.

6. Pemurah

Nak tahu satu lagi perkara yang menyebabkan perempuan tidak suka pada lelaki ialah sebab lelaki kedekut. Betul atau tidak terpualng pada kamu sendiri menilainya? Tetapi ada baiknya kamu berhati-hati dengan perihal ini. Tersilap langkah kamu juga boleh kehiangan si dia dan juga pokai. Rasanya tidak salah kalau niat kamu hendak berjimat, tetapi tengoklah keadaan. Kalau setiap kali keluar bersama kamu terlalu sukar untuk berbelanja apakah tindakan kamu tadi untuk berjimat atau kamu memang benar-benar kedekut. Jadi untuk menarik si dia, sesekali jangan keberatan berbelanja, tetapi biarlak ada batasannya. Bukan apa, ini smeua untuk kebaikan kamu juga kerana sesetengah perempuan tidak sukakan lelaki yang kedekut.

8 Cara Memberi dan Menerima

December 26th, 2008

1. Memberikan waktu luang anda sepenuhnya

- berikan sesuatu secara ikhlas dan tanpa merungut.

- Ambil waktu luang yang biasa anda gunakan untuk jalan-jalan ke kompleks membeli ? belah atau berbual kosong dengan teman lain. Berikan kepada pasangan dengan mengajaknya berjalan-jalan. Tapi jangan campurkan hal peribadi dengan pekerjaan. Jangan sampai anda ponteng kerja hanya untuk menemani si dia.

2. Menunjukkan perasaan anda

- Mahatma Gandhi pernah mengatakan, adakah seorang pengecut tidak mampu menunjukkan cintanya. Itu (cinta) hak istimewa bagi orang yang berani? Jika anda takut dianggap bodoh ketika menyatakan perasaan anda, cuba nyatakan dengan cara lain.

- Misalnya, dengan sedikit tambahan lawak jenaka atau dengan menulis surat. Jangan takut dianggap sentimental atau jiwang. Tak ada salahnya mengekspresikan apa yang kita rasakan.

3. Saling melengkapi

- Cubalah berkongsi pekerjaan yang sukar dengan pasangan anda. Dengan begitu, beban anda akan terasa berkurang dan itu juga cara praktikal menunjukkan setia kawan.

- Misalnya, anda mempunyai ibu yang cerewet dan selalu mengkritik, ada baiknya meminta suami atau isteri anda mencarikan hadiah ulang tahun untuknya. Pasangan anda tidak merasa bimbang dan dengan cepat boleh menentukan hadiah yang sesuai.

4. Memberikan orang lain lebih dari yang mereka harapkan

- Anda boleh menyembunyikan anak patung kesayangan anak anda di bawah bantalnya. Cubalah berbicara manis pada rakan sekerja yang biasanya menyebalkan, misalnya ? Selama ini kita banyak bercanggah pendapat, tapi saya mesti katakan bahawa kerja yang awak buat kali ini memang bagus.?

- Cubalah untuk tidak mengeluh selama 24 jam dan lihat sekeliling anda dengan gembira, sehingga tanpa sedar anda boleh kembali pada diri anda dalam keadaan tenang.

5. Membiarkan sahaja

- Kadang-kadang ada suami yang mempunyai masalah tetapi mengambil tindakan mendiamkan diri sahaja.

- Salmah cthnya, punya masalah yang sama dengan suaminya. ? Saya tahu ia punya masalah, mungkin di pejabat atau keluarganya, yang tak dapat diceritakan. Perkara terbaik yang boleh saya lakukan untuknya ialah dengan mengatakan saya tahu ia mempunyai masalah dan tak perlu berpura-pura seakan-akan semuanya baik-baik saja. Paling tidak, dia tahu saya tidak mengharapkan dia bertingkah normal. Kadang-kadang dengan cara demikian, suami saya boleh relaks dan berbual tanpa beban? begitulah cerita Salmah.

6. Jangan kedekut pujian

- Pujian, salah satu bentuk cinta yang paling sederhana. Memuji orang lain, rakan sekerja, teman atau keluarga boleh dilakukan dalam dua bentuk.

- Boleh terus memujinya atau ketika anda mendengar orang lain memuji seseorang, anda berusaha mengulangi pujian itu dengan menanyakan kembali pada yang memberi pujian. Siapa yang tidak merasa bangga mendapat pujian, walau sekecil mana sekali pun ?

7. Memberikan kejutan pada pasangan

- Melakukan sesuatu di luar kebiasaan, selain mengejutkan, ternyata boleh menyenangkan. Kalau anda sudah mengenali pasangan, tentu anda tahu apa yang disukainya.

- Misalnya, ketika Rini tidak boleh tidur, suaminya menyalakan lampu dan membacakan cerita sampai Rini tertidur. Bukan cerita dongeng kanak-kanak tapi novel pengarang kegemarannya.

8. Berkongsi ilmu

- Kalau anda tahu sesuatu, sebarkan pada teman-teman anda. Seperti yang dilakukan oleh Iskandar yang memang ulat buku dan suka melayari Internet. Hobinya mengumpulkan artikel menarik dan mengirimkannya pada orang-orang yang dirasakan perlu. Pada isterinya, Iskandar akan mengirimkan artikel romantik seperti puisi, bagaimana menyemai perasaan cinta antara mereka dan lain-lain.

Bagaimana Mengetahui Si Dia Adalah Jodoh Anda?

December 23rd, 2008

Perkahwinan adalah hubungan intim yang paling mencabar, namun ia juga sumber kegembiraan dan kepuasan jiwa. Bagaimanapun, suka untuk mencapai apa yang semua manusia mahukan daripada perkahwinan itu. Satu perkara buruk yang menjadi mimpi ngeri ialah perkahwinan yang tidak bahagia. Oleh itu, setiap keputusan untuk memilih pasangan hidup dan berkahwin adalah keputusan yang paling rumit untuk dibuat.

Boleh menerima perbezaan yang wujud pada pasangan anda

Ciri utama dalam perkahwinan bukan terletak pada keupayaan menyelesaikan perbezaan, tetapi kemampuan menerima dan menyesuaikan diri dengan perbezaan itu. Bagi sesetengah perkahwinan adalah penting suami isteri menerima perbezaan itu, malah mungkin ia menceriakan lagi kehidupan berumahtangga.

Misalnya, si isteri sukakan suasana rumah yang kemas dan teratur namun suami pula sering meletakkan barangan miliknya di merata tempat. Si isteri mungkin merungut tetapi menerima hakikat bahawa itu adalah tabiat suaminya.

Mengenali diri anda

Sebelum memilih pasangan hidup dan membentuk keluarga adalah berguna jika anda lebih menyedari kekurangan dan kelebihan diri sendiri. Ia amat membantu dalam usaha anda memilih pasangan yang sesuai. Senaraikan kekurangan dan kelebihan diri supaya anda mendapat gambaran seimbang mengenai diri sendiri.

Anda juga boleh melakukannya bersama pasangan anda supaya dapat mengukuhkan lagi hubungan cinta anda. Ini membolehkan anda membuat andaian terlebih dulu apa yang akan berlaku jika anda mengahwininya serta merangka jalan penyelesaian yang sesuai.

Mengenali personaliti antara satu sama lain

Antara faktor yang sering dikaitkan dalam permasalahan perkahwinan adalah sikap mudah terasa atau sensitif. Di kalangan kita, kira-kira 15 peratus hingga 20 peratus adalah Manusia Terlalu Sensitif (MTS) dan selebihnya bukan MTS. Sikap ini ditentukan oleh keturunan dan bukan kerana dipengaruhi oleh apa yang berlaku di sekeliling kita dan wujud tanpa mengira jantina anda.

MTS biasanya mudah terasa apabila dikritik, namun mereka juga memiliki ciri positif seperti berfikir dulu sebelum bertindak dan sanggup menerima pandangan orang lain.

Kemungkinan ketara dalam perkahwinan antara MTS dengan bukan MTS adalah wujudnya percanggahan pendapat. Misalnya, apabila ingin membeli rumah, individu bukan MTS mahukan keputusan yang segera, manakala individu MTS mahu berfikir terlebih dulu, mungkin mengenai kemampuan membayar balik pinjaman, kesesuaian tempat dan sebagainya. Oleh itu, adalah bijak jika anda menetapkan terlebih dulu ciri teman hidup yang anda impikan.

Mengetahui masalah zaman kanak-kanak masing-masing

Antara punca wujudnya perkahwinan yang tidak bahagia adalah kemungkinan pasangan anda didera semasa kanak-kanak, sama ada secara emosi, fizikal atau seksual. Penganiayaan seperti ini akan menyebabkan seseorang itu sering mengalami tekanan perasaan walaupun sudah dewasa.

Biasanya individu seperti ini akan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan berumahtangga dan menyebabkan kesengsaraan hidup terhadap pasangan dan anaknya.

Anda patut berusaha mendapatkan bantuan pakar jika menghadapi masalah. Jangan cuba mengandaikan bahawa perkahwinan mampu menyelesaikan segala masalah anda. Masalah itu jika dibiarkan mungkin menjadi lebih buruk dan menjejaskan masa depan anda.

Mengetahui keupayaan dan kelemahan diri sendiri

Fikirkan dulu mengenai keupayaan dan kelemahan diri anda dari segenap sudut sebelum membuat keputusan untuk berkahwin. Jika anda lemah dari segi kemahiran dalam perhubungan anda mungkin mengalami tekanan untuk mewujudkan keharmonian perkahwinan. Malah, mereka yang mahir dalam perhubungan pun menghadapi cabaran dalam perkahwinan.

Ada pelbagai cara untuk menilai kemahiran perhubungan anda. Tanyalah diri sendiri sama ada mudah atau sukar untuk anda mengekalkan hubungan persahabatan. Jika jawapannya sukar, maka anda patut berusaha meningkatkan kemahiran perhubungan sebelum mendirikan rumah tangga.

Mengetahui keperluan penting hidup anda

Antara tujuan perkahwinan ialah untuk memenuhi keperluan bersama. Oleh itu, langkah seterusnya dalam menilai diri sendiri adalah mengetahui keperluan hidup yang penting bagi anda.

Petua Memilih Bakal Isteri

December 23rd, 2008

Sepertimana sukarnya mencari permata di pelimbahan, begitu juga sukar mencari nilai seseorang untuk dijadikan suri dalam hidup.

Bagi sesetengah lelaki, mencari wanita untuk disayangi dan seterusnya menjadi teman sepanjang meniti kehidupan tidak semudah memilih atau menukar pakaian.

Menjalani hidup berdua, muafakat dalam segalanya, matlamat untuk hidup bahagia disusuli rasa kasih yang tiada taranya menjadi impian semua pasangan.

Pun begitu, dalam soal memilih pasangan hidup banyak perkara harus difikirkan. Islam turut menggariskan ciri wanita yang harus menjadi pilihan lelaki biarpun jodoh, ketentuan takdir, ajal dan rezeki di tangan Yang Maha Esa. Namun, ciri tertentu harus menjadi sempadan dan perlu diambil kira ketika memilih calon yang layak.

Pelbagai andaian dilakukan lelaki di samping meletakkan piawaian tertentu dalam memilih calon isteri. Kehidupan sosial dan peribadinya juga perlu diambil kira kerana melayari hidup bersama pasangan itu bukan untuk tempoh yang singkat, tetapi menyatukan dua jiwa untuk selamanya.

Mungkin petua berikut mampu menjadi panduan penting kepada lelaki yang terlalu cerewet dalam memilih pasangan hidup.

# Wanita kategori liar

Inilah jenis wanita yang sering dinasihati mana-mana ibu untuk dijauhi. Pada awalnya, perhubungan dengan wanita sebegini sememangnya menyeronokkan.

Dia selalu melakukan sesuatu di luar jangkaan. Perasaan selalu mencuba sesuatu yang bagus, tetapi sikap mencubanya tidak wujud sempadan. Anda mungkin teruja dengan kegilaannya, tetapi tanpa sedar, tersadung dalam masalah yang diciptanya.

# Wanita si bom jangka

Wanita bersifat bom jangka seumpama emosi yang akan meletus tanpa sebarang amaran ketika anda menjangka semuanya terkawal.

Dia kelihatan normal luarannya sehinggalah anda menjadi sasarannya.

Individu seperti ini bukan saja menjadi bom jangka dalam emosi kemarahan malah emosinya akan mengubah keputusan penting dalam hidup anda berdua kelak.

# Wanita si gula-gula

Gadis muda seumpama gula-gula yang melihat anda sebagai pembimbing dan menyukai kewujudan anda.

Dalam keadaan ini, anda seolah-olah bertindak seperti seorang yang mengajarnya untuk menjadi wanita idaman dan cuba mencipta kehidupan yang penuh kematangan untuknya.

Hakikatnya, mungkin diri sudah tertipu, gadis muda seumpama ini sebenarnya mungkin hanya menguji kuasa tarikan yang ada pada dirinya.

# Wanita si bintang

Wanita bersifat bintang menjadikan pasangannya sebagai jalan untuk mempopularkan atau menguntungkan dirinya semata-mata, lebih-lebih lagi jika dia mempunyai keinginan besar terhadap sesuatu yang jelas bukannya diri anda.

# Wanita si penggapai

Penggapai mempunyai kedudukan kewangan lebih daripada apa yang anda miliki dan dia menyukai keadaan sedemikian kerana ia memberi jaminan kepada dirinya.

Mengapa begitu? Dia memilih pasangan yang bukan dalam kelompoknya supaya dapat memberinya ruang untuk bergerak.

Anda menjadi sasaran jika matlamat kewangannya gagal dan anda dilihat sebagai punca masanya terbuang begitu saja sekadar untuk aktiviti bersama.

Dia cenderung mengatakan setiap usahanya untuk kebahagiaan bersama. Tetapi, harus berhati-hati.

# Wanita yang terluka

Hubungan yang terjejas menjadikan wanita dalam kategori ini dibelenggu emosi yang terluka sepanjang masa.

Kewujudan anda sekadar kapal persinggahan sementara baginya untuk memikirkan kesilapannya, apa yang berlaku, siapa dirinya dan apa yang perlu dilakukannya.

Sepanjang anda menjadi pasangannya, anda mendengar segala kisah buruknya. Bahkan, anda akan menjadi pendengar setia kisah sedihnya semalam, hari ini dan esok.

Biarpun anda menjangka dia mungkin akan menyintai anda, tetapi dia mungkin lebih memikirkan keadaan dirinya saja.