Mencari Cinta Sejati

February 21st, 2009

Kecewa dan terus kecewa dalam percintaan dijalin. Kadang-kadang hati sudah bosan memikirkan soal perasaan sedang diri terus dimamah usia.

Bosan sebenarnya apabila berakhir pada cinta yang salah. Alih-alih mengharap cinta sejati tetapi ia hanya kekal dan menjadi ‘cinta sehari’.

Ada waktu anda menyalahkan takdir yang menyebabkan sering kecundang lewat percintaan. Pernahkah mengkaji diri apa yang menjadi penyebabnya?

Kalau difikirkan kecantikan diri, rasanya tidak kalah dengan teman lain yang sudah punya kehidupan membahagiakan bersama pasangan masing-masing.

Namun anda masih sendiri dan bagaikan orang berputus asa, anda sudah menanam cita-cita untuk tidak mahu mengharapkan sesiapa lagi.

Jangan cepat dilanda rasa kecewa. Ada pengkaji dalam soal cinta menyarankan supaya jangan menoleh ke masa lalu yang penuh kekecewaan sebaliknya sentiasa melengkapkan diri untuk menerima cinta baru.

Namun, sebelum memutuskan menerima cinta seseorang, perhatikan tandanya, apakah dia memang jodoh anda?

# Dia sahabat terbaik anda

Saat mengalami kesulitan, perkara pertama terlintas di kepala anda adalah dirinya. Dia pandai menenangkan hati.

Dia selalu hadir untuk anda dalam situasi apa sekalipun. Tiada orang yang lebih baik mengisi peranan ini daripada pasangan anda atau sahabat istimewa yang menjadi tempat susah senang anda. Percayalah, pasangan yang dirasakan jodoh anda, pasti tidak takut mengalami pasang surut dalam hidup ini.


# Punya banyak persamaan

Hasil penelitian menyatakan, perkahwinan yang paling stabil adalah pernikahan yang membabitkan dua orang dengan banyak persamaan. Jenis persamaan itu tidak terlalu penting tetapi semua itu adalah modal untuk menjadikan hubungan semakin mantap.

Menikmati semua aspek kehidupan bersama adalah antara rahsia pasangan sejati. Tidak perlu orang lain untuk membuat anda berdua bahagia. Apakah anda sudah merasakannya? Jika ya, jangan lepaskan dia.

# Kepentingan anda adalah segalanya

“Cinta dimulai ketika seseorang menemukan bahawa keinginan orang lain sama pentingnya dengan hasrat hatinya sendiri.” (Harry Stack Sullivan).

Daripada bahasa tubuh dan sikapnya selama ini, terlihat jelas dia memperlakukan anda sebagai orang terpenting dalam hidupnya.

Bahkan, dia sering mementingkan sesuatu untuk keperluan diri dan sekali gus dia memikirkan diri anda. Jika ini yang ada pada peribadinya, mungkin dia yang anda cari.

Justeru, cinta abadi membabitkan komitmen rela berkorban untuk kebahagiaan pasangan lalu jangan memikirkan orang lain di fikiran. Percayalah bahawa dialah milik cinta sejati anda.

# Cinta tanpa syarat

Cuba ingat, pernahkah dia menarik muka masam saat melihat anda memakai baju yang tidak menepati seleranya? Dia barangkali pernah menegur gaya pakaian anda yang agak menjolok mata atau sebenarnya gaya pakaian anda membuatkan dia tidak senang kerana takut ada lelaki lain akan memberi perhatian lebih kepada anda.

Atau anda pernah ditegurnya tanpa disedari gara-gara memotong rambut tanpa pengetahuannya?

Namun, dia sentiasa pandai mengambil hati dan tegurannya jarang menyakitkan. Sebaiknya, fikirlah jika anda berkira-kira untuk memilih dia menjadi kekasih sejati. Cinta sejati adalah cinta tanpa syarat yang mampu menerima pasangan seadanya.

# Sentiasa bersedia jadi pendengar setia

Setiap kali anda berbicara padanya, tidak sedetik pun perhatiannya beralih. Dia pendengar yang baik, mampu mendengar anda berbicara berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan, penuh perhatian dan mengerti apa yang anda diinginkan.

# Sering menepati masa

Untuk urusan apa sekalipun, dia selalu berusaha untuk menepati waktunya. Janji bertemu jam tujuh malam, dia sudah tiba di tempat setengah jam lebih awal.

Baginya, lebih baik dia yang sampai dulu atau menjadi penunggu setia daripada membiarkan anda menunggu. Apalagi jika tempat pertemuan agak janggal untuk dirinya tetapi dia sentiasa mahu anda didahulukan.

# Gerak batin atau naluri

Tanpa sebarang ucapan, anda mampu mengetahui apa yang tersirat di hati masing-masing.

Anda berdua bagaikan dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaan pasangan pada situasi apa sekalipun. Bila anda sudah merasakan hal sedemikian, selamat! Mungkin dialah belahan jiwa anda.

Lima Alasan Tinggalkan Si Dia

February 21st, 2009

Pelakon, Fouziah Ghous beri lima alasan wanita harus tinggalkan si dia…

1. Tiada toleransi atau bertolak ansur.

Lelaki mesti sedar wanita bukan lagi seperti dulu yang banyak mengikut kata pasangan. Kebanyakan wanita sekarang ada pencapaian diri dan berpengetahuan luas.

Maka keyakinan diri mereka tinggi. Jadi, bagaimana wanita hendak meneruskan hubungan dengan pasangan yang tiada toleransi atau ingin mengikut kata mereka saja?

2. Tiada kepercayaan.

Dalam perhubungan, sifat percaya haruslah menjadi keutamaan. Pasangan yang sering syak wasangka dan tidak percaya akan menyebabkan wanita ‘tawar hati’ untuk memadu kasih.

3. Tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi jika lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap. Bukanlah bererti wanita bersikap materialistik, tapi seseorang lelaki harus membuktikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab apabila hidup bersama kelak.

4. Tiada keikhlasan.

Apa gunanya menjalin hubungan dengan seseorang yang tidak ikhlas mencintai kita. Tiada ertinya kasih sayang andainya lelaki hanya mahu mempergunakan kita untuk sesuatu kepentingan atau mempermainkan perasaan saja.

5. Tidak matang.

Memanglah nampak comel jika seseorang lelaki ada sifat manja dan kebudak-budakkan. Tapi, janganlah pula mereka menunjukkan sikap tidak matang dalam semua perkara. Wanita perlukan lelaki matang dalam membuat keputusan serta menyelesaikan masalah. Takkanlah wanita pula yang perlu lakukan semua itu!

Cinta monyet tak jamin kebahagiaan

February 21st, 2009

Cinta pertama diakui asyik dan intim tetapi satu penyelidikan baru mendapati jika mahu menemui kebahagiaan pada kemudian hari, lebih baik mengelak daripada dilamun cinta monyet sama sekali.

Dakwaan itu terkandung dalam buku bertajuk Changing Relationships, koleksi kertas penyelidikan baru oleh pakar sosiologi terkemuka Britain yang disunting pegawai penyelidik di institut bagi Penyelidikan Sosial dan Ekonomi di Universiti Essex, Malcolm Brynin.

Brynin mendapati, kegembiraan cinta pertama boleh merosakkan hubungan masa depan.

“Menakjubkan, nampaknya rahsia mencapai kegembiraan dalam hubungan ialah dengan mengelak daripada cinta pertama terlalu asyik,” kata Brynin.

Ketika menyelidik komponen bagi hubungan cinta jangka panjang yang berjaya, Brynin mendapati keasyikan cinta pertama boleh menetapkan tanda aras tidak realistik.

“Jika anda berada dalam cinta pertama penuh keasyikan dan membenarkan perasaan itu menjadi tanda aras hubungan yang dinamik, kemudian ia sudah tidak boleh dielakkan, menjadikan hubungan cinta masa depan yang lebih dewasa membosankan dan mengecewakan,” katanya.

Orang dewasa dalam hubungan cinta jangka panjang yang berjaya adalah mereka yang bersabar dan mengambil pandangan pragmatik mengenai apa yang diperlukan daripada satu perhubungan.

Katanya, masalah bermula apabila seseorang itu bukan saja cuba mendapatkan apa yang diperlukan bagi hubungan lebih matang tetapi juga berusaha mengekalkan keseronokan dan keasyikan yang diperoleh dalam cinta monyet.

“Kesimpulannya jelas: jika anda dapat melindungi diri daripada keasyikan dalam hubungan pertama, anda akan lebih bahagia dalam cinta seterusnya,” kata Brynin.

Pandangan Brynin disokong oleh pensyarah psikologi sosial di Universiti Central Lancashire, Dr Gayle Brewer, yang berkata: “Jika anda menilai hubungan dewasa berbanding cinta monyet, anda menggunakan tanda aras tunggal iaitu keasyikan dan keintiman tidak realistik. � Agensi

Tip Membaca Raut Wajah

February 21st, 2009

Mampukah anda mentafsir raut wajah si dia untuk mendalami cinta, keyakinan dan keperibadiannya?

Masih bingung menentukan siapa pilihan hati? Kenapa tidak anda cuba mengujinya dengan cara lain? Misalnya, dengan membaca raut wajah si jejaka.

Dengan menerokai bentuk dahi, bibir, alis mata mahupun keseluruhan anggota wajahnya, anda pasti dapat mengetahui karakternya dengan tepat.

*** Bentuk wajah

Panjang dan tirus: Mereka yang memiliki bentuk wajah seperti ini umumnya bersifat sabar dan memiliki keteguhan hati. Mereka juga memiliki peribadi menarik dan tidak suka menangguh kerja.

Bulat: Bentuk mukanya yang bulat menandakan dia seorang yang mempunyai kekuatan diri dan harapan tinggi. Dirinya gemar perhatian dan mampu mengubah suasana kaku kepada keadaan yang penuh gelak tawa.

Lebar: Dia bersikap toleransi, mudah sedih dan mempunyai wawasan yang luas.

Bersegi: Memiliki keinginan yang kuat dalam mencapai segala impian. Pemilik wajah seperti ini tergolong mereka yang suka duduk diam.

*** Dahi

Licin: Jenis seorang yang kuat memikirkan sesuatu dan cepat membuat keputusan.

Berkerut: Apabila kerutan dahinya tampak garis-garis horizontal, ia menunjukkan individu tersebut bersikap cepat marah tetapi memiliki karisma yang tinggi.

*** Mata

Tegang: Apabila terdapat bahagian putih mata di antara iris atau selaput dan bahagian bawah kelopak mata pada kedua-mata mata, itu menunjukkan individu tersebut sedang tertekan dan begitu khuatir.

Menentang: Apabila bahagian putih terlihat di bahagian atas iris, ia bererti selain tertekan individu tersebut juga mempunyai sikap ‘gatal’.

Terpisah: Apabila bahagian putih kelihatan di sekeliling iris, lebih baik anda hindari individu seperti ini. Ia menunjukkan jiwa mereka tidak stabil dan cepat marah.

*** Alis

Lurus: Alis mata berbentuk horizontal menunjukkan dia seorang yang gagah dan gemar berdebat.

Melengkung: Apabila memiliki bentuk alis mata yang melengkung, individu tersebut tergolong dalam kalangan mereka yang suka berjenaka.

Tipis: Seorang yang kurang mempercayai diri sendiri terutama apabila alis mata agak ke atas dan melengkung.

Menyambung: Apabila melihat alis mata yang menyambung, bererti anda sedang berhadapan dengan seorang pemikir dan dapat berkongsi manfaat dengan memberikan semangat kepada mereka.

*** Kelopak mata

Kecil: Apabila jarak antara bahagian atas kelopak mata dan bulu mata kelihatan terlalu dekat, ia menunjukkan individu tersebut begitu peka dan dapat memelihara jarak perhubungan dengan orang lain.

Lebar: Kelopak mata bersaiz lebar menandakan pemiliknya memiliki sifat yang terlalu mengharapkan bantuan orang lain.

*** Hidung

Kecil: Orang yang berhidung kecil umumnya memiliki sikap yang lemah. Dia juga seringkali tiada kekuatan untuk diri sendiri dan fikirannya selalu berubah-ubah.

Besar: Hidung besar menandakan individu itu mempunyai inisiatif, mantap serta memiliki karakter yang kuat.

Leper atau penyek: Hidung yang besar tetapi leper biasanya milik seorang yang tidak kaku dengan perkara yang berlaku di sekelilingnya. Mereka hanya percaya pada diri sendiri, mudah bergaul dan bersikap berani.

Mancung: Biasanya mereka mempunyai sifat berterus terang dan agak pedas ketika berbicara. Mengagumi diri sendiri, sukar untuk membuat keputusan dan peka terhadap sesuatu perkara.

*** Telinga

Kecil: Biasanya individu ini sentiasa berasa tidak aman tetapi pada umumnya tahu apa yang mereka inginkan. Individu ini juga tergolong dalam kalangan mereka yang kuat bekerja keras.

Tajam: Bersifat kaku dan tidak santai.

Telinga yang berambut: Pemiliknya bersifat cermat dan teliti. Namun, waktu dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk hal-hal yang tidak penting.

*** Dagu dan rahang

Rahang bersegi: Bersifat keras dan memiliki kemampuan untuk membuatkan segala impian yang diinginkan menjadi kenyataan.

Dagu yang menonjol keluar atau runcing: Merasakan dirinya penting dan selalu bercakap benar. Menurut pendapatnya, tidak seorang pun yang benar kecuali dirinya.

*** Pipi

Lesung pipi: Selain membuat individu tersebut tampak menarik, lesung pipi juga menjadi simbol keserasian pemiliknya.

*** Bibir

Tebal: Bersifat murah hati dan senang membicarakan tentang dirinya sendiri.

Tipis: Apabila bentuk bibirnya tipis dan bulat, ia menjadi tanda keperibadian yang tertutup dan peka.

Bibir atas tipis dan bibir bawah tebal: Menunjukkan individu ini jenis seorang yang meyakinkan dalam segala perbicaraan. - NOOR HASLIZA NUSI

Bila Kawan Jadi Kekasih

February 11th, 2009

Jauh di sudut hati, terasa betapa indah memujanya.

Namun siapa yang dapat merasakan cuitan hati jika tidak terluah dek kata-kata?

Yang menjadi masalah, mampukah ia terungkap jika orang yang diminati dan sering menjentik perasaan bukanlah orang lain sebaliknya sahabat baik sendiri?

Bertahun menjalin hubungan atas dasar sahabat sejati, rakan setia yang sanggup bersusah bersama dan bergembira di saat anda mahu meluah segala suka-duka, kini segalanya berubah.

Jantung bagai disentap apabila bertembung dengannya bahkan tiba-tiba membuatkan hati berdebar-debar dan jatuh cinta tanpa disedari apabila perasaan itu muncul di celah persahabatan yang dijalin.

Jika dulu, anda menganggap dirinya seorang sahabat sejati, sanggup berkongsi suka dan duka serta menjadi teman paling setia mendengar masalah, kini lain pula situasinya.

Sahabat yang selama ini dimahkotakan sebagai teman biasa kini bertukar menjadi kekasih istimewa.

Persoalannya, adakah hubungan akan berjalan dengan lancar jika bercinta dengan sahabat sendiri? Adakah dia juga merasakan hal yang sama seperti anda? Adakah anda harus menyatakan perasaan itu terhadapnya?

Apabila dilamun cinta dengan teman biasa, perlu diteliti semua aspek peribadinya sebelum sesuatu hubungan itu menjadi bertambah intim. Takut nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.

Kata orang, bercinta dengan sahabat sendiri akan mencetuskan kekangan dalam perhubungan. Sekiranya khuatir persahabatan itu akan berakhir dengan perasaan saling membenci, anda harus mempertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Pro

* Anda harus menyukai seluruh peribadinya. Perlu juga tahu perubahan hatinya, perkara yang membahagiakannya jika menjalin hubungan cinta dengan anda dan perkara yang perlu dihindari.

* Anda sanggup menempuh suka dan duka bersama tidak kira apa juga rintangan yang dihadapi berbanding sewaktu menjalinkan hubungan persahabatan dulu.

* Anda mengenali ibu bapanya dan diterima baik oleh mereka. Yang pasti, anda seharusnya mempunyai nilai positif yang membawa ke arah kebahagiaan kedua-dua pihak.

Kontra

* Memandangkan anda berdua sudah mengenali perilaku masing-masing, tiada lagi hal yang boleh membuatkan anda perlu bertanya. Ia mungkin menimbulkan rasa bosan jika anda masih mahu melakukannya.

* Anda meminati karakternya ketika bergelar sahabat, tetapi tidak mustahil karakter itu boleh berubah setelah hubungan yang dibina bertukar menjadi kekasih.

* Sikap seperti cemburu dan syak wasangka melampau mungkin antara sikap yang tidak pernah anda sangka muncul pada si dia yang dulu hanya seorang teman biasa.

* Sebagai sahabat, hubungan anda berdua dilihat bertambah baik, tetapi ia berubah setelah menjadi teman istimewa. Anda akan kehilangan orang yang selalu menjadi pendengar yang baik. Siapa yang akan menjadi pendengar setia apabila dia yang menjadi topik pembicaraan anda?

Dari segi pro dan kontra yang disenaraikan, aspek kontra lebih berkemungkinan membawa anda ke arah kehancuran sebuah persahabatan yang begitu indah.

Anda berasa sudah mengenali hatinya dengan baik sebagai sahabat, tetapi sebagai kekasih segalanya berubah.

Terdapat juga risiko yang harus anda hadapi apabila berterus-terang mengenai perasaan.

Jangan luahkan perasaan ini kerana ia akan muncul sekiranya kamu cuba menahan dan menyembunyikannya.

Duduk dengan tenang, pertimbangkan aspek pro dan kontranya.

Jangan lupa, risiko yang mungkin terjadi. Anda tidak akan mengetahui sejauh manakah perasaannya terhadap anda sekiranya anda takut untuk cuba bertanya sendiri.

Apabila anda berdua berjaya mengungkap perasaan cinta itu, mungkin pada awalnya ia akan menimbulkan sedikit kejanggalan, tetapi kesudahannya, ia akan berakhir dengan kegembiraan.

Layanlah Isteri Dengan Baik

February 11th, 2009
Nuffnang Ads
.fullpost{display:inline;}Keruntuhan rumah tangga boleh berlaku kepada semua pasangan berkeluarga. Ia tidak terbatas kepada kalangan orang yang tidak mempunyai didikan agama malah mereka yang mendapat pendidikan agama juga sering kali terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan umat Islam sering berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain. Namun, sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita. Perkara itu dapat dilihat daripada hadis Rasulullah SAW menerangkan pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.

Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara itu, janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.”

Sabda itu menjelaskan tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara menyimpang dan keji diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.

Oleh itu, melayani isteri dengan cara terbaik dituntut Islam. Jangan hanya melakukan perbuatan baik kepada orang lain saja tetapi lebih utama kepada keluarga sendiri. Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai kesan besar.

Tulang rusuk itu sebenarnya terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendak sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina lelaki.

Inilah kedudukan istimewa wanita yang dimartabatkan Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya.”

Selain itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.” Jelaslah daripada dua hadis itu ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari suami. Sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.

Kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada suami, namun kuasa itu hendaklah ditadbirkan secara adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan kehendak isteri. Jika kuasa itu tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri.

Dalam Islam, apabila suatu keistimewaan diberikan kepada seseorang ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang dibebankan kepada seseorang.

Walaupun suami dibebankan dengan tanggungjawab, isteri juga tidak lepas daripada peranan yang perlu dijalankan dalam sesebuah keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang suami mengajak isterinya ke katilnya (untuk disetubuhi) lalu isteri menolak dan suami marah terhadap isterinya, maka malaikat melaknat isteri hingga ke pagi.”

Alangkah indahnya jika hubungan antara suami isteri yang dijelaskan hadis itu dijadikan teras kepada akhlak yang digaris Rasulullah SAW. Islam menganjurkan perbuatan baik kepada isteri dan ahli keluarga sama ada dengan memberi layanan baik ataupun menggembirakan hati mereka dengan memenuhi hasrat munasabah mengikut kemampuan suami.

Suami juga hendaklah tidak kedekut membelanjakan wangnya untuk kebajikan isteri dan anak. Ini dapat dilihat daripada kisah Hindun yang mengadu kepada Rasulullah terhadap suaminya Abu Sufyan yang mempunyai harta tetapi kedekut.

Hindun mencuri sebahagian harta Abu Sufyan untuk keperluan dirinya. Rasulullah SAW membenarkan Hindun mengambil harta Abu Sufyan walaupun tanpa pengetahuan Abu Sufyan dengan kadar yang munasabah.

Cerita itu boleh dijadikan pengajaran, hubungan suci suami isteri ini perlu berasaskan hukum syarak dan meletakkan piawaian terbaik bagi mengemudi bahtera rumah tangga supaya apabila dilanda badai dan ombak ia tetap utuh.

Justeru, membina rumah tangga sering dijadikan perbandingan dengan membina masjid. Meruntuhkan rumah tangga sama seperti meruntuhkan masjid. Meruntuhkan masjid mempunyai implikasi besar kepada umat Islam kerana masjid yang makmur menggambarkan umat Islam yang bersatu dan berteraskan kepada syariah Islam.

Kemunculan golongan yang memperjuangkan kesamarataan antara lelaki dan wanita sebenarnya adalah diakibatkan kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab mereka. Secara hipotetikal, jika semua suami melaksanakan tanggungjawab menurut hukum syarak sudah pasti golongan aktivis wanita tidak wujud.

Semangat dan falsafah hadis di atas sebenarnya diolah kembali dan digubal dalam Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Jenayah Syariah. Undang-undang itu memperuntukkan tanggungjawab dan peranan perlu dimainkan suami isteri.

Ia juga menggariskan kesalahan yang boleh dihukum seperti cuai terhadap isteri, nusyuz, ingkar perintah mahkamah dan lain-lain. Namun undang-undang dan mahkamah hendaklah dijadikan jalan terakhir penyelesaian kemelut rumah tangga. Didikan dan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab adalah lebih utama berbanding aspek hukuman.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari laman web www.peguamsyarie.org

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Air mata lelaki

February 11th, 2009

Senario wanita menangis adalah perkara biasa. Mungkin kerana ramai menganggap golongan wanita terlalu sensitif. Tetapi, bagaimana pula jika lelaki yang terkenal dengan sifat macho dan ego menitiskan air mata?

Adakah air mata akan menyebabkan lelaki hilang ciri-ciri maskulin dan menjatuhkan keegoannya? Walaupun pada hari ini, ramai lelaki lebih terbuka terutamanya dalam membicarakan tentang perasaan, tetapi kebanyakannya menolak untuk menangis di hadapan orang lain.

Dalam pada itu, ramai pakar psikologi menggalakkan seseorang menangis. Menurut pakar psikologi, menangis adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan diri, menenangkan jiwa dan meluahkan perasaan.

Macho menyelami pendapat jejaka mengenai sejauh mana mahalnya air mata kaum Adam?

* Muhammad Sharezzahadi Koh (Adi), 22, produksi bebas.

Lelaki menangis bergantung kepada situasi. Misalnya, perihal berkaitan percintaan, lelaki yang tergolong sebagai anak manja atau yang kehilangan seseorang yang begitu disayangi akan lebih mudah menangis.

Saya juga mudah mengalirkan air mata apabila terlampau stres kerana banyak kerja perlu disiapkan sehingga saya gagal menanggung bebanannya.

* Tengku Lefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin (Eifiz), 21, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Menangis tidak perlu dilakukan di hadapan orang ramai. Lelaki akan menangis saat dia duduk berseorangan ataupun bersama seorang rakan yang sudi mendengar isi hatinya.

Setiap lelaki mempunyai egonya sendiri. Keegoan lelaki tidak akan runtuh disebabkan air mata. Ini kerana manusia dicipta untuk menangis dan ada masanya lelaki terpaksa mengalirkan air mata.

* Zulfadli Nasir (Zul), 22, bisnes

Bukan disebabkan anak manja, tetapi lelaki mempunyai perasaan yang mudah tersentuh dalam apa jua perkara. Bagi saya, tidak perlu malu untuk menangis, kerana kita dikurniakan naluri dan perasaan untuk diekspresikan.

* Jehan Miskin, 30, pelakon.

Saya akan menangis bila tonton filem sedih. Bagi saya, ada masanya seorang lelaki perlu menangis, mungkin kerana terlalu emosi. Tetapi kalau disebabkan semua perkara, kita menangis, tak rock la…Biasanya, lelaki menangis seorang diri, dan ia baik untuk kesihatan.

* Ebi, 25, penyanyi AF5

Sukar seorang lelaki mengalirkan air mata disebabkan sifat ego. Lelaki mempunyai hati dan perasaan. Terdapat banyak perkara yang boleh menyebabkan seorang lelaki menangis. Bukan kerana gagal dalam bercinta, tetapi disebabkan kematian insan yang paling disayanginya. - NOOR HASLIZA NUSI

Lelaki dan komitmen perkahwinan

February 11th, 2009

Anda sudah menamatkan pengajian peringkat tinggi, memiliki pekerjaan tetap dan kehidupan stabil. Malah, harta seperti rumah dan kenderaan juga sudah dibeli sejak beberapa tahun lalu.

Pada peringkat ini, apatah lagi usia sudah mencecah lewat 20-an, lelaki yang memenuhi kriteria seperti dinyatakan tadi tentu mula dihujani soalan cepumas, bila lagi hendak menamatkan zaman bujang?

Bagi lelaki yang sudah mempunyai calon di hati, barangkali tidak sukar memberi jawapan. Namun, bagi mereka yang masih solo, soalan bila hendak kahwin seolah memberi tekanan. Ini dirasakan mereka yang belum pasti sama sudah bersedia untuk komitmen perkahwinan atau tidak.

Soal perkahwinan, bagi kebanyakan lelaki dianggap isu besar dan penting dalam hidup. Pada suatu peringkat dalam perjalanan kehidupan seseorang lelaki, mustahil tidak pernah terlintas di fikiran mengenai soal kahwin.

Dalam memikirkan isu perkahwinan pula, persoalan yang selalunya berlegar di fikiran lelaki adalah apakah mereka bersedia dalam menempuh alam perkahwinan. Ada juga memikirkan bagaimana hendak menghadapi cabaran sebagai pasangan yang sudah berumah tangga.

Tidak dinafikan, dalam situasi yang membandingkan pemikiran antara lelaki dan wanita, golongan lelaki dikatakan jarang memikirkan perihal komitmen perkahwinan berbanding wanita.

Antara sebab membuatkan segelintir lelaki tidak begitu mengambil berat soal komitmen perkahwinan adalah kerana masyarakat tidak mengambil kisah lelaki bujang walaupun usia sudah mencecah 30-an. Lain pula halnya bagi wanita yang selalu menjadi bahan bualan jika masih belum berumah tangga pada peringkat usia sebegini.

Namun, tidak semua lelaki bersikap tidak serius mengenai komitmen perkahwinan. Ramai yang bercita-cita membina keluarga sendiri. Sebagai lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga, keputusan yang hendak diambil tentunya lebih berat berbanding wanita.

Fitrah lelaki, sudah tentu mereka menjadi pihak yang harus memulakan langkah pertama melamar wanita pilihan sebagai isteri. Seterusnya, lelaki perlu menyediakan keperluan seperti kewangan dan material untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

Memulakan langkah pertama itu bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk mengadakan segala persiapan serta menghadapi dunia baru yang pastinya penuh dengan cabaran. Maklum saja, sesudah berkahwin, kehidupan perlu dilalui bersama pasangan yang tentunya mempunyai cara dan pemikiran berbeza. Pastinya, ini menuntut kesabaran dan kefahaman kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, amat penting bagi lelaki memastikan dirinya cukup bersedia berdepan dengan semua kerenah sebelum membuat keputusan berkahwin.

Sebagai panduan, ikuti temubual Tanya Pakar bersama Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Dr Mohd Fadzil Che Din mengenai lelaki dan komitmen perkahwinan.

Apa persiapan yang harus dilakukan seseorang lelaki sebelum mendirikan rumah tangga?

Selalunya orang akan lebih sibuk dengan persiapan secara fizikal atau material. Ia lebih kepada bagaimana untuk meraikan hari perkahwinan dan memastikannya berjalan dengan lancar.

Persiapan ini meliputi penyediaan bajet, tema dan semua perkara membabitkan majlis yang bakal berlangsung. Selepas itu barulah aspek rohaniah diberi ditumpukan termasuk tugas sebagai seorang suami, hubungan dengan pasangan, keluarganya dan jalinan emosi dengan mereka.

Kedua-duanya, iaitu persiapan fizikal dan rohaniah sama penting. Semua perkara membabitkan soal persiapan seharusnya mula difikirkan sebaik membuat keputusan mendirikan rumah tangga.

Waktu itu lagi sepatutnya sudah terbit idea mengenai konsep yang ingin dipilih dan bagaimana hendak melaksanakan peristiwa penting ini. Seperkara lagi, kita harus sedar bahawa isteri yang hendak dikahwini itu masih bergelar anak kepada ibu bapanya, malah mereka mempunyai keluarga sendiri. Maka lelaki perlu faham keadaan mereka dan cuba sesuaikan diri dengan keluarga sebelah isteri.

Apa pandangan Dr Mohd Fadzil mengenai persepsi sesetengah wanita yang menganggap kebanyakan lelaki sering tidak serius dalam merancang dan membuat persiapan perkahwinan mereka?

Ini tidak dinafikan dan ia sesuatu yang normal sebenarnya. Mereka tidak begitu berminat untuk membuat persiapan perkahwinan kerana ini memerlukan ketelitian seperti persiapan hantaran, pelamin dan sebagainya.

Kerja ini biasanya diserahkan kepada keluarga mereka. Tidak bermakna bahawa lelaki mengambil mudah hal ini, cuma fokus persiapan mereka tidak ke arah itu tapi mungkin lebih kepada persiapan kewangan.

Hal ini ada kalanya menimbulkan konflik antara pasangan yang ingin berkahwin. Oleh itu, seseorang lelaki harus bijak mengawal keadaan dan menyelesaikan masalah yang wujud sebaiknya.

Bagaimana hendak menentukan sama ada seseorang lelaki itu sudah bersedia untuk berkahwin ataupun tidak?

Untuk berkahwin, seseorang lelaki sepatutnya sudah matang bukan saja dari aspek fizikal tetapi mental dan emosi. Ada masanya seseorang itu kelihatan matang secara luarannya tapi dari segi emosi dan mental, mereka belum cukup matang.

Perkahwinan adalah suatu perkongsian dan apabila sudah mendirikan rumah tangga, anda harus belajar berkongsi dan toleransi dari segi emosi, mental dan fizikal dengan pasangan anda.

Seseorang lelaki mesti bersedia dari segi kewangan sebelum berkahwin. Mereka perlu sedar hakikat apabila berkahwin, proses perkembangan keluarga mula berlaku dan dari segi kewangan, semua ini pastinya memerlukan perbelanjaan tinggi.

Jika sebelum ini kita cuma fikirkan diri kita seorang saja, selepas berumahtangga kita perlu menanggung keluarga yang baru dibina. Jadi, lelaki harus pastikan pendapatan mereka mencukupi untuk melalui kehidupan berkeluarga. Isteri yang bekerja adalah sebagai sokongan saja, tanggungjawab utama tetap terletak pada suami.

Apakah sikap yang perlu dibentuk dalam diri seseorang yang bergelar suami?

Lelaki harus menanamkan sikap proaktif dalam diri masing-masing. Jangan bersikap reaktif, sudah terhantuk baru terngadah. Maksudnya, sebelum sesuatu masalah itu timbul, mereka harus berusaha untuk mengelakkan ia terjadi. Banyak konflik dalam perkahwinan berlaku berpunca daripada kurangnya ilmu, pengalaman dan kemahiran kekeluargaan.

Sehubungan itu, seseorang lelaki perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu berhubung tanggungjawab suami. Ini supaya mereka mampu berdepan dengan cabaran perkahwinan. Lelaki juga harus pandai mengimbangkan tanggungjawab sebagai individu, ketua keluarga serta kerjaya mereka.

Bagaimana untuk menghadapi cabaran dan masalah dalam perkahwinan?

Keluarga adalah institusi yang bersifat dinamik di mana sentiasa berdepan peristiwa dan perubahan. Kerjaya juga ada dinamiknya kerana kita terdedah dengan pengaruh di tempat kerja terutama daripada kawan.

Apabila terdedah dengan semua perkara ini, hubungan perkahwinan cenderung dilanda masalah. Perasaan kecil hati dan gagal mencapai kata sepakat sering berlaku. Dalam menghadapi masalah atau cabaran ini, jangan bersendirian. Dapatkan sokongan daripada pihak yang dapat membantu anda.

Apa yang perlu seseorang lelaki terapkan dalam minda mereka sebelum melangkah ke alam perkahwinan?

Bila melangkah ke alam perkahwinan, secara automatik seseorang lelaki perlu melaksanakan segala tanggungjawab. Pada peringkat ini, setiap yang mereka fikir perlu perlu dibuat, harus dilaksanakan.

Di sinilah letaknya semua kemahiran sebagai seorang suami. Pada pandangan saya, lelaki tidak usah takut melakukan apa yang mereka fikirkan betul. Seandainya timbul masalah, mereka perlu menyelesaikannya serta-merta tanpa bertangguh hingga ia menjadi lebih rumit.

Kadangkala, lelaki perlu menilai diri sendiri jika masalah yang terjadi berpunca daripada diri mereka. Selain itu, hal dalam perkahwinan juga ada kalanya memerlukan kita membuat penyesuaian.

Bagaimana pula untuk menghadapi tekanan yang datang dari luar?

Kadangkala, faktor luar tidak mampu dikawal kita. Bagi menghadapinya, kita perlu mencari kemahiran baru. Di samping itu, cara berfikir juga harus diubah. Persepsi ‘sepatutnya ia berlaku begini’ perlu diubah kepada ‘alangkah baiknya jika ia berlaku begini’.

Nasihat kepada lelaki yang bakal mendirikan rumah tangga?

Perkahwinan adalah perhubungan orang dewasa. Justeru, kita harus bertindak seperti seorang dewasa. Seorang dewasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap apa yang sudah dipertanggungjawabkan kepadanya.

Elak melakukan sesuatu yang boleh membuka 1,001 masalah, kemusnahan dan apa saja cabaran yang memberi risiko kepada rumah tangga.

Niat Buruk Hidup Tak Berkat

February 10th, 2009

Sebagai roh, begitulah kedudukan niat dalam sesuatu amalan atau tindakan seseorang. Inilah yang dinyatakan fuqaha’ agung mazhab Maliki, Imam Abu Ishaq al-Shatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat.

Disebabkan kepentingannya itu, maka niat menjadi syarat bagi penerimaan sesuatu amalan atau ibadat yang dilaksanakan seseorang hamba. Ia dapat dilihat seperti firman Allah yang menggesa hamba-Nya supaya menyucikan dan mengikhlaskan niat dalam menyembah serta beribadah kepada-Nya.

Malah, hadis daripada Umar menjelaskan persoalan niat berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya atau untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu.” (Hadis Muttafaq `Alaih)

Kepentingan niat dalam menentukan kedudukan amalan atau perbuatan seseorang amat jelas. Pada peristiwa hijrah yang berlaku September 622 Masihi, ada seorang sahabat yang turut menyertainya semata-mata kerana keinginannya mengahwini seorang wanita, iaitu Ummu Qais.

Baginda SAW mengetahui maksud lelaki berkenaan (yang kemudian digelar ‘Muhajir Ummi Qais’) lalu memberikan peringatan seperti dijelaskan dalam hadis. Teguran dan peringatan diberikan Rasulullah SAW itu disebabkan suasana yang menyelubungi Baginda dan sahabat ketika itu.

Pada saat genting itu, Nabi SAW dan sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman tercinta ke Madinah, kota yang terletak kira-kira 280 batu (320 kilometer) ke utara Makkah itu semata-mata hanya kerana Allah. Dengan kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam.

Oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya. Berbeza dengan sahabat lain, yang sanggup menempuh segala kesulitan dengan penuh ketulusan hati demi menyelamatkan iktiqad mereka yang suci, bagi mereka pahala serta ganjaran yang besar.

Hijrah yang disempurnakan oleh mereka semata-mata demi mengharapkan keredaan Allah serta Rasul-Nya. Berasaskan hadis yang menekankan kedudukan penting niat inilah juga ulama usul fiqh membentuk satu daripada kaedah fiqh asas, ‘Setiap urusan (perkara) bergantung pada niatnya.’ Kaedah fiqh ini memberikan maksud bahawa hukum sesuatu perkara, iaitu perkataan atau perbuatan ditentukan berdasarkan niat atau maksud individu yang melaksanakannya.

Dalam kehidupan hari ini, niat kelihatan tidak begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha dilaksanakan. Sedangkan, pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati.

Oleh itu, kita dapat melihat sebahagian kita sanggup melakukan apa saja walaupun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata menerusi cara yang digariskan syarak dan diredai Allah.

Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa juga cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun menerusi penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain.

Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang digembleng dengan penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.

Disebabkan niat buruk itu menjadi paksi bagi segala tindakan kita, maka tidak menghairankan jika kita dapat melihat bagaimana kesan atau akibatnya juga sedemikian sifatnya. Contohnya, jika sumber pendapatan datangnya menerusi usaha berasaskan niat yang terpesong daripada landasan kebenaran, maka ia akan menyebabkan hilang keberkatan pada rezeki yang diperoleh.

Kehilangan keberkatan itu pula seterusnya akan menyebabkan jiwa diselubungi sifat keji dan akhirnya ia mempengaruhi pula keperibadian dan tingkah laku.

Ada juga keadaan, iaitu niat atau matlamat dipergunakan bagi menghalalkan cara atau kaedah untuk mencapai sesuatu. Contohnya, seseorang mengatakan pembabitannya dalam pekerjaan yang tidak halal atau diragui kedudukannya disebabkan percampuran antara unsur halal dengan haram, adalah semata-mata dengan niat yang suci, iaitu bagi menyara keluarga.

Atau, seseorang menggunakan wang daripada hasil rompakan untuk menunaikan ibadat haji atau tujuan mulia lain dengan niatnya melaksanakan kewajipan terhadap Allah. Jelas di sini, niat tidak sama sekali dapat menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan bagi melaksanakan tujuan berkenaan dan inilah yang dapat dilihat dalam kaedah shar`iyah yang menetapkan ‘matlamat tidak menghalalkan cara.’

Tidak dinafikan wujud sebilangan anggota masyarakat yang benar-benar tulus dalam usaha dan perjuangan mereka. Apa yang menjadi sandaran harapan mereka ialah keredaan Allah dan kejayaan dalam memakmurkan kehidupan masyarakat serta ummah.

Malah, mereka berasa bimbang jika nikmat yang dikecapi merosakkan diri serta mencemarkan niat atau keikhlasan mereka dalam berusaha. Selain itu, perjuangan kumpulan kecil insan seperti ini juga menghasilkan kesan berbeza dengan apa dikecapi oleh golongan yang mendasarkan usaha mereka atas niat serta matlamat tertumpu pada kepentingan diri, untuk mendapatkan kemasyhuran atau demi keuntungan duniawi semata-mata.

Usaha mereka yang ikhlas itu dilimpahi keberkatan, contohnya menerusi kemajuan perniagaan serta pelaburan yang dijalankan dan sentiasa memperoleh jalan keluar bagi setiap kesulitan ditempuh.

Selain itu, kegigihan mereka demi membawa kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat pasti dipermudah, sesuai dengan niat dan matlamat yang diharapkan.

Ternyata, kejayaan dan lebih penting lagi, kelangsungan usaha serta perjuangan mereka ini hanyalah disebabkan asasnya yang teguh lagi utuh, iaitu ketulusan niat dan kesucian matlamat yang disasarkan.

Sesuai dengan kedudukan niat sebagai satu daripada tiga bahagian Islam, seperti dikatakan oleh Imam Shafie, maka ia perlu diberi perhatian sebaiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan.

Ia penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukan sia-sia saja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan saja. Begitu besarnya peranan niat, ia turut digandingkan dengan jihad.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah.” (Hadis Muttafaq `Alaih)

Menjelaskan maksud hadis ini, Imam Nawawi mengatakan, “Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar.”

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

Lelaki dan kereta

February 10th, 2009
Nuffnang Ads
.fullpost{display:inline;}YOU are what you drive. Begitulah persepsi umum setiap kali lelaki mahu membeli kereta. Biar solo mahupun berkeluarga, seboleh-bolehnya lelaki mahu memilih kereta yang memenuhi kehendak diri. Ini kerana akhirnya, keretalah yang menggambarkan karektor peribadi.

Bagi si bujang, pencarian sebuah kereta boleh mengambil masa berbulan-bulan. Selain faktor kewangan, banyak perkara lain perlu dipertimbangkan. Bagi mereka yang cenderung mempamerkan kemampuan memiliki kereta idaman ramai, sudah tentu model terbaru yang menjengah pasaran menjadi pilihan.

Seorang teman baru-baru ini bangga menunjukkan kereta barunya, Mazda 3 yang menurut katanya, memiliki segala-gala yang diperlukan dalam sebuah kenderaan. Reka bentuk slick dan maskulin, selain ciri-ciri urban dan tidak banyak dilihat di jalan menjadi faktor mendorong beliau memiliki kereta ini.

Fanatiknya lelaki dengan kereta bukanlah cerita baru. Pelbagai gelagat boleh dilihat jika lelaki mula menggilai kereta. Seorang teman misalnya, cukup teringin memandu kereta Mitsubishi Lancer yang dikatakan pilihan terbaik buat dirinya.

Lalu rakan ini yang sudah melewati usia 30-an tetapi berjiwa muda mengunjungi premis jualan Mitsubishi dan untuk melepaskan gian, kereta idaman dipandu biarpun sekadar mengelilingi tempat letak kereta premis terbabit.

Bagi lelaki pakar kereta pula, usah kelentong mereka setiap kali subjek kereta dibangkitkan. Lelaki yang taksub dengan kereta tahu banyak perkara mengenai kenderaan ini. Obsesi mereka terhadap kereta boleh dibahagikan mengikut banyak kategori.

Ada lelaki berminat dalam soal enjin dan prestasi kereta, ada jejaka suka jenama kereta tertentu dan tidak kurang juga cukup mahir mengubahsuai kenderaan. Berikan mereka apa saja kereta, baik vintaj sekalipun, pasti hasilnya tidak mengecewakan.

Lazimnya, lelaki yang mahir soal kereta tidak menghadapi masalah membeli kereta terpakai. Selain faktor harga lebih rendah, kereta terpakai jika mengikut istilah anak muda ‘dibikin’ dengan baik, tentu dapat memberi kepuasan yang hampir sama dengan kereta baru.

Lelaki yang memilih kereta terpakai, masih boleh tersenyum sambil memandu biarpun model terbabit sudah beberapa tahun diperkenalkan kerana apa yang dihajati sudahpun diperoleh.

Jadi tidak hairanlah, ada lelaki sanggup menunggu sehingga tiga atau empat tahun bagi mendapatkan kereta idaman, misalnya Honda CRV atau Toyota Vios. Ini kerana harga kereta jauh lebih rendah.

Namun, ada risikonya jika membeli kereta sebegini. Ini kerana selain faktor usia, prestasi kereta perlu diberi perhatian utama. Namun, jika sudah menjadi pakar kereta dan mahir selok belok enjin termasuk tempat termurah mendapatkan peralatan ganti, semua itu tidak perlu dirisaukan.

Jika ditanya, lelaki pasti memberi 1,001 alasan mengapa jenis model atau kereta tertentu menjadi pilihan. Mereka mungkin dengan jelas dapat menyenaraikan dari aspek teknikal dan praktikal mengapa sesebuah kereta mahu dimiliki. Namun, itu secara teorinya. Sedar atau tidak, jenis kereta yang dipandu secara tidak langsung dapat membayangkan karektor diri sebenar?

Ikuti catatan ini bagi mengenal personaliti diri daripada jenis model kereta yang anda pandu…

Pilihan kereta lelaki

# Lelaki berjiwa romantis
LELAKI romantis cenderung memilih kereta berprestasi sederhana dan tidaklah terlalu mementingkan soal had laju atau kemampuan memecut. Bagi lelaki romantis, lebih lama berada dengan si dia di dalam kereta yang dipandu, lebih baik.

Sudah pasti kereta yang menjadi pilihan utama lelaki penyayang ialah dari jenis convertible atau bumbung yang boleh dibuka secara automatik.

Bayangkan, membawa si dia menikmati pemandangan malam dengan bumbung terbuka? Cukup romantik! Selain itu, lelaki romantis juga cenderung memiliki kereta vintaj. Kereta vintaj memberi aura tersendiri dan jika memandu bersama kekasih pada hari minggu, keseronokannya tentu berbeza!

# Lelaki playboy
MELARAM dan beraksi kononnya dia sajalah yang memandu kereta dari jenis model tertentu mungkin gelagat yang boleh dilihat dari lelaki playboy. Lelaki sebegini menitikberatkan soal imej, ranggi dan kehidupan bebas.

Sudah tentu kereta dari jenis sporty seperti Porsche, BMW mahupun Lamborgini menjadi pilihan jejaka kaya-raya atau anak jutawan. Gelagat lelaki playboy beraksi dengan kereta mewah seperti yang dipaparkan dalam klip video penyanyi Hollywood, kini bukan lagi suatu pemandangan asing di Kuala Lumpur.

# Lelaki eksekutif dan berkedudukan baik dalam profesion.
Lelaki yang memiliki kerjaya baik cenderung memilih kereta yang memenuhi keinginan peribadinya. Bermula mungkin dengan memiliki kereta terpakai pada awal kerjaya, lelaki eksekutif dan berkerjaya tentu mahukan kereta lebih baik dan sesuai dengan status diri serta profesion yang disandang.

Mungkin selepas bekerja keras selama 10 tahun selepas tamat pengajian pada usia 25 tahun, lelaki berusia 35 tahun ke atas mahu memiliki kereta idaman hasil penat lelah bekerja serta mencapai status baik dalam hidup.

Jika di Malaysia, jenama kereta Honda, Mazda atau Toyota mungkin menjadi pilihan lelaki dari kumpulan ini. Tidak kurang juga ada lelaki mahu memiliki kereta tempatan seperti Proton Perdana yang mencerminkan imej eksekutif dan mewah.

# Lelaki stailo.
Lelaki stailo lazimnya memiliki ciri-ciri lelaki urban. Lelaki stailo cenderung memiliki kereta dari jenis kompak. Selain mudah dikendalikan terutama di bandar raya seperti Kuala Lumpur, kereta stailo lazimnya memiliki reka bentuk menarik dengan sentuhan kontemporari.

Biarpun kereta kompak dikatakan lebih sesuai untuk pemandu wanita, lelaki urban memilih kereta kompak kerana ia lebih ringkas, bergaya dan mudah dikendalikan. Lihat saja Mini Cooper, siapa tidak mahu kereta kompak ini?

# Ahli perniagaan.
Ada rakan yang mengusahakan perniagaan mengakui soal jenis kereta yang dipandu menjadi persoalan pelanggan. Katanya, pelanggan akan lebih yakin jika melihat kereta mewah dari jenis Mercedes Benz, BMW atau sekurang-kurangnya Honda CRV dipandu ahli perniagaan.

Mungkin ada benarnya, tetapi usahawan lelaki perlu menimbang banyak faktor sebelum memiliki kereta idaman. Selain faktor keupayaan kereta bertahan lama (andai perlu memandu ke lokasi jauh untuk menemui pelanggan), soal lain termasuk prestasi, penjimatan petrol dan imej perlu diberi perhatian.

Namun, apa salahnya memiliki kereta mewah andai perniagaan yang diusahakan berjaya atau pulang modal dengan kos operasi dan pengurusan terjamin setiap bulan.

# Lelaki berkeluarga.
MPV! Inilah kereta idaman lelaki berkeluarga. Bagi lelaki ini, apa lagi yang hendak dicari daripada sebuah kereta melainkan ia dapat memenuhi keperluan keluarga iaitu isteri dan anak-anak.

Bagi lelaki yang memiliki anak ramai, kenderaan MPV atau van mungkin paling sesuai. Ini tentunya memudahkan seisi keluarga setiap kali pulang ke kampung atau mengembara jauh beramai-ramai. Selain lebih selamat, hubungan sekeluarga juga bertambah erat. Tanyalah mana-mana lelaki bergelar bapa, MPV pasti menjadi idaman mereka!

# Lelaki veteran atau pesara.
Lelaki masih boleh memandu sehingga usia mencapai 80 tahun asalkan daya penglihatan dan refleksi masih baik. Lelaki senior cenderung memilih kereta yang mudah dikendalikan dan paling mustahak, automatik!

Disebabkan faktor usia dan tenaga yang tidak kuat, lelaki berusia tentunya mahukan kereta bergear automatik bagi mengurangkan kesakitan pada lutut selain memudahkan pemanduan tanpa perlu memberi tumpuan pada gear. Jika anda mampu, apa kata hadiahkan bapa kereta bergear automatik?

INFO: Senarai NST Maybank Car of The Year 2008.

ANDA tercari-cari kereta idaman? Ikuti senarai kereta pilihan NST Maybank Car of The Year 2008. Dilaporkan, selepas menguji 65 kenderaan baru yang dilancarkan tahun lalu, juri menamakan Mazda6 2.5l sebagai juara atau kereta terbaik 2008!

# Kategori Peringkat Kemasukan: Proton Saga

# Kategori Kereta Kecil Premium: Honda Jazz

# Kategori Kereta Keluarga: Nissan Sylphy

# Kategori Kereta Eksekutif (bawah RM200,00): Mazda6 2.5L

# Kategori Kereta Eksekutif (atas RM300,00): Jaguar XF

# Kategori Limosin: Mercedes-Benz S500 L

# Kategori Kereta Prestasi (bawah RM300,000): Honda Civic Type R

# Kategori Kereta Prestasi (atas RM300,000): BMW M3

# Kategori MPV Midi: Honda Stream

# Kategori MPV Besar: Renault Grand Espace

# Kategori SUV: Chevrolet Captiva

# Kategori SUV Premium: Mazda CX9

# Kategori Trak Pikap: Mitsubishi Triton 3.2L

# Juara Keseluruhan Maybank-NST Car Of The Year 2008: Mazda6 2.5L

# Anugerah Keselamatan: Jaguar XF

# Anugerah Rekabentuk Baik: Volvo C30

# Anugerah Kereta Nasional Paling Laris 2006-2008: Perodua Myvi

# Anugerah Kereta Bukan Nasional Paling Laris 2005-2008: Toyota Avanza

# Anugerah Inovasi: Honda Civic Hybrid

Oleh Shamshul Azree Samshir