Lelaki dan kereta

February 10th, 2009
Nuffnang Ads
.fullpost{display:inline;}YOU are what you drive. Begitulah persepsi umum setiap kali lelaki mahu membeli kereta. Biar solo mahupun berkeluarga, seboleh-bolehnya lelaki mahu memilih kereta yang memenuhi kehendak diri. Ini kerana akhirnya, keretalah yang menggambarkan karektor peribadi.

Bagi si bujang, pencarian sebuah kereta boleh mengambil masa berbulan-bulan. Selain faktor kewangan, banyak perkara lain perlu dipertimbangkan. Bagi mereka yang cenderung mempamerkan kemampuan memiliki kereta idaman ramai, sudah tentu model terbaru yang menjengah pasaran menjadi pilihan.

Seorang teman baru-baru ini bangga menunjukkan kereta barunya, Mazda 3 yang menurut katanya, memiliki segala-gala yang diperlukan dalam sebuah kenderaan. Reka bentuk slick dan maskulin, selain ciri-ciri urban dan tidak banyak dilihat di jalan menjadi faktor mendorong beliau memiliki kereta ini.

Fanatiknya lelaki dengan kereta bukanlah cerita baru. Pelbagai gelagat boleh dilihat jika lelaki mula menggilai kereta. Seorang teman misalnya, cukup teringin memandu kereta Mitsubishi Lancer yang dikatakan pilihan terbaik buat dirinya.

Lalu rakan ini yang sudah melewati usia 30-an tetapi berjiwa muda mengunjungi premis jualan Mitsubishi dan untuk melepaskan gian, kereta idaman dipandu biarpun sekadar mengelilingi tempat letak kereta premis terbabit.

Bagi lelaki pakar kereta pula, usah kelentong mereka setiap kali subjek kereta dibangkitkan. Lelaki yang taksub dengan kereta tahu banyak perkara mengenai kenderaan ini. Obsesi mereka terhadap kereta boleh dibahagikan mengikut banyak kategori.

Ada lelaki berminat dalam soal enjin dan prestasi kereta, ada jejaka suka jenama kereta tertentu dan tidak kurang juga cukup mahir mengubahsuai kenderaan. Berikan mereka apa saja kereta, baik vintaj sekalipun, pasti hasilnya tidak mengecewakan.

Lazimnya, lelaki yang mahir soal kereta tidak menghadapi masalah membeli kereta terpakai. Selain faktor harga lebih rendah, kereta terpakai jika mengikut istilah anak muda ‘dibikin’ dengan baik, tentu dapat memberi kepuasan yang hampir sama dengan kereta baru.

Lelaki yang memilih kereta terpakai, masih boleh tersenyum sambil memandu biarpun model terbabit sudah beberapa tahun diperkenalkan kerana apa yang dihajati sudahpun diperoleh.

Jadi tidak hairanlah, ada lelaki sanggup menunggu sehingga tiga atau empat tahun bagi mendapatkan kereta idaman, misalnya Honda CRV atau Toyota Vios. Ini kerana harga kereta jauh lebih rendah.

Namun, ada risikonya jika membeli kereta sebegini. Ini kerana selain faktor usia, prestasi kereta perlu diberi perhatian utama. Namun, jika sudah menjadi pakar kereta dan mahir selok belok enjin termasuk tempat termurah mendapatkan peralatan ganti, semua itu tidak perlu dirisaukan.

Jika ditanya, lelaki pasti memberi 1,001 alasan mengapa jenis model atau kereta tertentu menjadi pilihan. Mereka mungkin dengan jelas dapat menyenaraikan dari aspek teknikal dan praktikal mengapa sesebuah kereta mahu dimiliki. Namun, itu secara teorinya. Sedar atau tidak, jenis kereta yang dipandu secara tidak langsung dapat membayangkan karektor diri sebenar?

Ikuti catatan ini bagi mengenal personaliti diri daripada jenis model kereta yang anda pandu…

Pilihan kereta lelaki

# Lelaki berjiwa romantis
LELAKI romantis cenderung memilih kereta berprestasi sederhana dan tidaklah terlalu mementingkan soal had laju atau kemampuan memecut. Bagi lelaki romantis, lebih lama berada dengan si dia di dalam kereta yang dipandu, lebih baik.

Sudah pasti kereta yang menjadi pilihan utama lelaki penyayang ialah dari jenis convertible atau bumbung yang boleh dibuka secara automatik.

Bayangkan, membawa si dia menikmati pemandangan malam dengan bumbung terbuka? Cukup romantik! Selain itu, lelaki romantis juga cenderung memiliki kereta vintaj. Kereta vintaj memberi aura tersendiri dan jika memandu bersama kekasih pada hari minggu, keseronokannya tentu berbeza!

# Lelaki playboy
MELARAM dan beraksi kononnya dia sajalah yang memandu kereta dari jenis model tertentu mungkin gelagat yang boleh dilihat dari lelaki playboy. Lelaki sebegini menitikberatkan soal imej, ranggi dan kehidupan bebas.

Sudah tentu kereta dari jenis sporty seperti Porsche, BMW mahupun Lamborgini menjadi pilihan jejaka kaya-raya atau anak jutawan. Gelagat lelaki playboy beraksi dengan kereta mewah seperti yang dipaparkan dalam klip video penyanyi Hollywood, kini bukan lagi suatu pemandangan asing di Kuala Lumpur.

# Lelaki eksekutif dan berkedudukan baik dalam profesion.
Lelaki yang memiliki kerjaya baik cenderung memilih kereta yang memenuhi keinginan peribadinya. Bermula mungkin dengan memiliki kereta terpakai pada awal kerjaya, lelaki eksekutif dan berkerjaya tentu mahukan kereta lebih baik dan sesuai dengan status diri serta profesion yang disandang.

Mungkin selepas bekerja keras selama 10 tahun selepas tamat pengajian pada usia 25 tahun, lelaki berusia 35 tahun ke atas mahu memiliki kereta idaman hasil penat lelah bekerja serta mencapai status baik dalam hidup.

Jika di Malaysia, jenama kereta Honda, Mazda atau Toyota mungkin menjadi pilihan lelaki dari kumpulan ini. Tidak kurang juga ada lelaki mahu memiliki kereta tempatan seperti Proton Perdana yang mencerminkan imej eksekutif dan mewah.

# Lelaki stailo.
Lelaki stailo lazimnya memiliki ciri-ciri lelaki urban. Lelaki stailo cenderung memiliki kereta dari jenis kompak. Selain mudah dikendalikan terutama di bandar raya seperti Kuala Lumpur, kereta stailo lazimnya memiliki reka bentuk menarik dengan sentuhan kontemporari.

Biarpun kereta kompak dikatakan lebih sesuai untuk pemandu wanita, lelaki urban memilih kereta kompak kerana ia lebih ringkas, bergaya dan mudah dikendalikan. Lihat saja Mini Cooper, siapa tidak mahu kereta kompak ini?

# Ahli perniagaan.
Ada rakan yang mengusahakan perniagaan mengakui soal jenis kereta yang dipandu menjadi persoalan pelanggan. Katanya, pelanggan akan lebih yakin jika melihat kereta mewah dari jenis Mercedes Benz, BMW atau sekurang-kurangnya Honda CRV dipandu ahli perniagaan.

Mungkin ada benarnya, tetapi usahawan lelaki perlu menimbang banyak faktor sebelum memiliki kereta idaman. Selain faktor keupayaan kereta bertahan lama (andai perlu memandu ke lokasi jauh untuk menemui pelanggan), soal lain termasuk prestasi, penjimatan petrol dan imej perlu diberi perhatian.

Namun, apa salahnya memiliki kereta mewah andai perniagaan yang diusahakan berjaya atau pulang modal dengan kos operasi dan pengurusan terjamin setiap bulan.

# Lelaki berkeluarga.
MPV! Inilah kereta idaman lelaki berkeluarga. Bagi lelaki ini, apa lagi yang hendak dicari daripada sebuah kereta melainkan ia dapat memenuhi keperluan keluarga iaitu isteri dan anak-anak.

Bagi lelaki yang memiliki anak ramai, kenderaan MPV atau van mungkin paling sesuai. Ini tentunya memudahkan seisi keluarga setiap kali pulang ke kampung atau mengembara jauh beramai-ramai. Selain lebih selamat, hubungan sekeluarga juga bertambah erat. Tanyalah mana-mana lelaki bergelar bapa, MPV pasti menjadi idaman mereka!

# Lelaki veteran atau pesara.
Lelaki masih boleh memandu sehingga usia mencapai 80 tahun asalkan daya penglihatan dan refleksi masih baik. Lelaki senior cenderung memilih kereta yang mudah dikendalikan dan paling mustahak, automatik!

Disebabkan faktor usia dan tenaga yang tidak kuat, lelaki berusia tentunya mahukan kereta bergear automatik bagi mengurangkan kesakitan pada lutut selain memudahkan pemanduan tanpa perlu memberi tumpuan pada gear. Jika anda mampu, apa kata hadiahkan bapa kereta bergear automatik?

INFO: Senarai NST Maybank Car of The Year 2008.

ANDA tercari-cari kereta idaman? Ikuti senarai kereta pilihan NST Maybank Car of The Year 2008. Dilaporkan, selepas menguji 65 kenderaan baru yang dilancarkan tahun lalu, juri menamakan Mazda6 2.5l sebagai juara atau kereta terbaik 2008!

# Kategori Peringkat Kemasukan: Proton Saga

# Kategori Kereta Kecil Premium: Honda Jazz

# Kategori Kereta Keluarga: Nissan Sylphy

# Kategori Kereta Eksekutif (bawah RM200,00): Mazda6 2.5L

# Kategori Kereta Eksekutif (atas RM300,00): Jaguar XF

# Kategori Limosin: Mercedes-Benz S500 L

# Kategori Kereta Prestasi (bawah RM300,000): Honda Civic Type R

# Kategori Kereta Prestasi (atas RM300,000): BMW M3

# Kategori MPV Midi: Honda Stream

# Kategori MPV Besar: Renault Grand Espace

# Kategori SUV: Chevrolet Captiva

# Kategori SUV Premium: Mazda CX9

# Kategori Trak Pikap: Mitsubishi Triton 3.2L

# Juara Keseluruhan Maybank-NST Car Of The Year 2008: Mazda6 2.5L

# Anugerah Keselamatan: Jaguar XF

# Anugerah Rekabentuk Baik: Volvo C30

# Anugerah Kereta Nasional Paling Laris 2006-2008: Perodua Myvi

# Anugerah Kereta Bukan Nasional Paling Laris 2005-2008: Toyota Avanza

# Anugerah Inovasi: Honda Civic Hybrid

Oleh Shamshul Azree Samshir




Trackback URI | Comments RSS

Leave a Reply

Name (required)

Email (required)

Website

Speak your mind